
KEMAJUAN yang dimiliki oleh sukan warisan iaitu sepak takraw pada hari ini dijangka akan terus berkembang dalam masa beberapa tahun.
Malah, dengan kejayaan demi kejayaan diraih skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala Dunia Istaf dan Piala Asia Astaf hanya akan membuatkan lebih banyak penaja daripada syarikat korporat untuk datang dan melabur dalam sukan itu.
Ditambah dengan penganjuran liga tempatan iaitu Sepak Takraw League (STL) yang memasuki tahun ke-11, ia akan terus menguatkan lagi industri sukan tersebut di negara kita.
BACA LAGI: STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’
Hannah memberikan ucapan ketika majlis pelancaran musim baharu STL di Kuala Lumpur.
Bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perkembangan ini dilihat sangat positif dengan dia tidak teragak-agak mengatakan sepak takraw mampu berdiri sendiri pada masa depan.
Dengan syarikat korporat mula mengambil serius sepak takraw, Hannah tidak terkejut jika sukan itu tidak lagi mengharapkan bantuan kerajaan selepas ini.
"Saya gembira melihat lebih banyak penaja hadir ke hadapan untuk menyokong sukan sepak takraw. Persatuan kena memainkan peranan aktif dalam menganjurkan kejohanan. Saya nampak momentum ini ada sejak kita memenangi Piala Dunia tahun lalu dan kini Piala Asia. Ditambah pula dengan penganjuran STL serta klinik-klinik sepak takraw, saya yakin akan ada ramai pengikut terutamanya daripada kalangan kanan-kanak.
"Sukan ini tidak mahal, sukan ini mudah untuk dimainkan, boleh dimainkan di mana-mana saja. Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut membantu menjadikan sukan ini sukan teras di sekolah-sekolah. Dengan adanya para penaja, saya yakin lebih banyak kejohanan akan diadakan.
"Nilai tontotan (terhadap sepak takraw) sangat berharga, dan jika jumlah tontonan tersebut boleh digunakan sebaiknya untuk tujuan komersil, saya yakin yang kebergantungan sepak takraw kepada dana kerajaan tidak akan lama. Saya yakin," kata Hannah kepada media pada Selasa.
Hannah berkata demikian selepas merasmikan musim baharu STL di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Musim lalu, jumlah tontonan STL pada musim sedekad mereka adalah 6.3 juta untuk tontonan di televisyen. Jumlah itu merupakan nilai tertinggi direkodkan oleh kejohanan tersebut.
Musim ini, menyaksikan syarikat telekomunikasi, CelcomDigi menjadi penaja gelaran (title sponsor) buat STL. Selain itu, jenama minuman Vida, Pos Malaysia dan jenama makanan sejuk beku, First Pride antara penaja bagi musim ini.
STL 2025 menyaksikan beberapa perubahan dengan penambahan satu grand prix iaitu GP Negeri Sembilan serta pengenalan sistem kelas bagi menyemarakkan lagi drama dalam kejohanan.
Dalam setiap GP STL musim ini, setiap pasukan akan dibahagikan kepada empat pasukan. Juara dan naib juara kesemua kumpulan akan berentap di pusingan seterusnya.
Ketika itulah, kesemua juara dan naib juara kumpulan akan dibahagikan kepada Kelas 1 dan Kelas 2.
Kelas 1 akan menyaksikan kesemua juara kumpulan dikumpulkan untuk merebut gelaran juara GP. Sementara kesemua naib juara akan diletakkan dalam Kelas 2 untuk merebut tempat kelima dan kelapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram