
BEK warisan baharu Harimau Malaya, Gabriel Palmero memberi impak luar biasa dalam penampilan sulungnya pada perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Cape Varde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Pemain warisan Malaysia-Sepanyol itu diturunkan sebagai kesebelasan utama skuad kebangsaan dengan Palmero dilihat tidak gugup dan mempunyai keserasian yang baik dengan rakan sepasukannya ketika menentang pasukan pada ranking ke-72 dunia itu.
Hasilnya, Palmero dan rakan sepasukannya berhasil mengikat Cape Varde dengan keputusan 1-1 menerusi jaringan gol dari Paulo Josue pada minit ke-79. Manakala, pasukan pelawat pula meraih gol daripada Sidney Cabral pada minit kesembilan.
BACA LAGI: Malaysia rumah kedua saya, Gabriel Palmero lahir dari akademi hebat Sepanyol — Ramon Marcote
Bercakap mengenai debut Palmero, pemerhati sukan tempatan iaitu Afiq Rowley tidak menafikan bahawa pemain CD Tenerife B itu menampilkan debut yang cemerlang bersama Harimau Malaya sehingga melupakan Dion Cools yang sinonim di pertahanan kanan.
"Bagus. Dia yakin dan cepat mencapai persefahaman dengan rakan sepasukan lain. Sampai saya hampir lupa kita ada Dion Cools yang masih belum beraksi. Aset terbaik negara untuk masa depan," katanya kepada Majoriti.
Mengulas mengenai persembahan Harimau Malaya pula, Afiq menegaskan bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski masih perlu memperbaiki mutu permainan dengan bahagian serangan skuad kebangsaan masih dilihat tumpul.
Menurutnya, segala kelemahan di bahagian serangan itu jelas perlu diperbaiki sebelum aksi getir Harimau Malaya menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia pada 10 Jun depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Pada saya ya dan tidak (bersedia menewaskan Vietnam). Adakala kita terlalu yakin sampai beberapa kesilapan kecil masih berlaku. Tapi kualiti permainan jelas semakin meningkat terutama daripada segi ketenangan dan kebijaksanaan tonggak tengah seperti Endrick yang bijak memacu gerakan ke arah kubu lawan.
"Penekanan di posisi serangan. Malaysia tampil tumpul pada perlawanan tersebut. Mungkin sedikit rombakan kesebelasan utama atau perbaiki percaturan taktikal permainan?
"Sudah tentu Hevel (Hector) dan Cools perlu dibawa turun pada aksi mendatang. Mungkin Endrick di separuh masa pertama dengan Romel Morales? Bukan menidakkan Josue, tapi impaknya dengan Harimau Malaya lebih menarik jika digunakan pada babak kedua," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram