
KETAKUTAN yang menyelubungi skuad regu tanah air berhasil diatasi apabila sukses menumpaskan musuh tradisi, Thailand straight set dengan keputusan 2-0 dalam pentas final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis.
Malaysia mengekalkan trio asal regu negara pada set pertama iaitu Syahir Rosdi sebagai tekong dan mengekalkan gandingan Farhan Adam selaku pengumpan dan Azlan Alias sebagai perejam.
Manakala, Thailand turut menurunkan pemain utama mereka iaitu Varayut Jantarasena (perejam), Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan) dan tekong mereka, Sittipong Kamchan.
BACA LAGI: Vietnam menanti Malaysia lepas kejutkan Indonesia, lambakan pilihan jadi pemangkin skuad negara
Pasukan sepak takraw negara mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi set pertama menentang Thailand dengan keputusan 15-12 dalam pertemuan yang penuh dramatik dan tegang.
Thailand dua kali mengemukakan cabaran terhadap keputusan pengadil, namun kedua-duanya ditolak, mencetuskan rasa tidak puas hati di kem skuad Gajah Perang.
Kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 11-11 sebelum Malaysia berjaya melepasi tekanan menerusi servis bertenaga Syahir yang menyumbang kepada kemenangan set pertama.
Kedua-dua pasukan turut mempamerkan kehebatan dalam serangan pada set pertama permainan apabila masing-masing meraih tiga mata hasil rejaman kencang.
Skuad Malaysia ketika merangkul trofi acara regu pada Khamis.
Memasuki set kedua, Malaysia terus menguasai permainan dengan mendahului 4-0. Thailand bertindak menukar tekong mereka daripada Sittipong kepada Jakkrit Thinbangbon dalam usaha mengubah rentak permainan.
Selain itu, selain mengeluarkan Varayut dan digantikan dengan Sutthikiart Panseankaew pada lewat permainan namun gagal menghasilkan kebangkitan.
Namun, pertahanan kemas pasukan Malaysia menjadi penghalang utama apabila kerjasama trio berpengalaman itu mematahkan beberapa percubaan lawan untuk bangkit menang 15-9.
Untuk rekod, ia adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran manakala muncul naib juara acara double selepas tewas di tangan Thailand. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram