STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’


  • Podium
  • Selasa, 20 Mei 2025

STL 2025 memperkenal format kelas bagi menentukan kedudukan pasukan.

SAINGAN Sepak Takraw League (STL) edisi 2025 menyaksikan perubahan format bagi menambah elemen drama dalam saingan dikuasai Kuala Lumpur Thunder musim lalu.

Format baharu menyaksikan STL menambah jumlah grand prix (GP) dengan Negeri Sembilan menjadi lokasi gelanggang terbaru yang berada dalam senarai.

Selain itu, format “kelas” diperkenalkan bagi menambah elemen drama apabila STL mewujudkan Kelas 1 dan Kelas 2.

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Jais akui skuad takraw kebangsaan sukar serap serangan konsisten Sittipong, antara punca tersungkur

BACA LAGI: Malaysia tambah kejuaraan di Titiwangsa, regu takraw kebangsaan menang straight set malukan Thailand

Kelas 1 menyaksikan pasukan yang menjuarai peringkat kumpulan berpeluang merebut kejuaraan sementara Kelas 2 bakal diperkenalkan bagi menentukan pasukan berada di kedudukan kelima hingga kelapan.

Dalam setiap GP STL musim ini, setiap pasukan akan dibahagikan kepada empat pasukan. Juara dan naib juara kesemua kumpulan akan berentap di pusingan seterusnya.

Barisan bintang STL di majlis pelancaran musim baharu liga itu di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Ketika itulah, kesemua juara dan naib juara kumpulan akan dibahagikan kepada Kelas 1 dan Kelas 2.

Kelas 1 akan menyaksikan kesemua juara kumpulan dikumpulkan untuk merebut gelaran juara GP. Sementara kesemua naib juara akan diletakkan dalam Kelas 2 untuk merebut tempat kelima dan kelapan.

Bagi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, format baharu ini akan mengangkat lagi sukan itu ke tahap lebih tinggi.

“Kita sedang menyaksikan satu anjakan paradigma dalam landskap sukan sepak takraw negara, STL bukan sahaja mengangkat imej sukan tradisional ke peringkat lebih profesional, malah menandakan komitmen serius terhadap pembangunan jangka panjang.

“STL akan terus menjadi sebahagian daripada kalendar utama sukan sepak takraw, bukan sahaja di Malaysia tetapi turut menjadi rujukan banyak negara dalam aspek pembangunan dan pengkomersialan sukan ini. Kami percaya, dengan beberapa rombakan dalam barisan pemain musim ini, persaingan akan menjadi lebih sengit dan menarik untuk disaksikan oleh peminat,” ujar Sumali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram