Perak rancang kebangkitan, guna skuad SUKMA sertai Liga A1


  • Podium
  • Isnin, 26 Mei 2025

Perak FA dijangka akan menghantar pasukan bagi saingan musim baharu Liga Malaysia.

PENYOKONG bola sepak Perak mungkin tidak akan berduka lama akibat penutupan Perak FC. Hal ini kerana, masih akan ada pasukan yang akan mewakili negeri itu.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) secara terbuka memberi isyarat akan menghantar pasukan bagi musim baharu Liga Malaysia pada 2025/2026.

Dalam kenyataan dikeluarkan PAFA, badan induk bola sepak negeri Perak itu sedang merancang untuk menghantar pasukan bertanding sebagai persiapan untuk Sukan Malaysia 2026 (SUKMA).

BACA LAGI: Perak FC jual barang, tunggu dana MFL selesaikan kewajiban tertunggak

BACA LAGI: Hebatnya anak jati Perak, kini bergelar jurulatih Prima United FC

Sasaran PAFA ketika ini adalah untuk mendapatkan kebenaran daripada Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi membolehkan mereka menyertai liga di dalam sistem tersebut, berkemungkinan Liga A1.

"Fokus utama kini ialah membentuk satu pasukan yang berdaya saing melalui skuad SUKMA Perak, yang bakal menjadi tunjang kebangkitan semula bola sepak Perak di pentas tempatan.

"Perancangan sedang giat dilakukan untuk menyertai liga anjuran AFL sebagai permulaan, selain persediaan jangka panjang menuju SUKMA 2026, Piala Presiden 2026 dan Piala Belia 2026," kata PAFA.

Usaha membangkitkan semula bola sepak Perak itu diketuai oleh presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin. Pihaknya berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub, pimpinan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan AFL.

PAFA begitu komited untuk memastikan skuad dapat dihantar untuk bertanding secepat musim depan supaya dapat mengubati kekecewaan penyokong.

"Dalam usaha membina semula kekuatan bola sepak negeri, Datuk Azhar telah mengadakan siri pertemuan strategik bersama pimpinan utama bola sepak negara, termasuk Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Ketua Unit Pertandingan FAM, Encik Jack Subramaniam untuk membincangkan hala tuju, kelayakan penyertaan dan syarat-syarat penyertaan dalam Liga Amatur, Piala Presiden, Piala Belia, Liga A1 dan pendaftaran lesen kebangsaan untuk masa depan.

"Kami juga amat menghargai sokongan padu dari Kerajaan Negeri Perak yang diterajui oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang sentiasa prihatin dan komited dalam membantu PAFA memacu semula pembangunan bola sepak di negeri ini.

"Kini, PAFA tampil sebagai entiti utama bola sepak Perak. Kami sedar kekecewaan yang dirasai oleh penyokong, namun inilah waktunya untuk kita bersatu, membina semula, dan menyemai harapan yang baharu," ulas PAFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram