Kedah-Perak masih ada harapan, boleh bersaing dalam Liga A1


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Kedah dan Perak FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas gagal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi pada musim depan.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan yang menjadi syarat utama penyertaan dalam saingan elit bola sepak negara.

Perkara itu disahkan oleh First Instance Body (FIB) pada Khamis, sekali gus menyingkirkan kedua-dua pasukan bersejarah dari pentas Liga Super bagi musim 2025.

Namun begitu, kegagalan ini bukan pengakhiran buat KDA FC dan Perak FC berikutan Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, masih ada sinar harapan buat kedua-dua kelab menerusi penyertaan dalam Liga A1, liga yang menjadi asas pembangunan semula pasukan profesional.

BACA LAGI: Tinggal kenangan, Perak FC sah tak mohon lesen kebangsaan

BACA LAGI: Tempoh mohon Lesen Kebangsaan dilanjutkan, ‘kelembutan’ MFL undang pro-kontra

"Kita tak mahu bila pasukan jatuh, terus hilang. Liga A1 ini jadi platform untuk KDA FC dan Perak FC terus hidup, terus berjuang.

“Dengan dengan adanya Liga A1 ini, mereka masih ada tempat untuk kembali, untuk gilap kembali pasukan itu ambil masa sikit dan kita harap suatu hari nanti dia akan balik ke Liga Super," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kenderaan Rasmi FAM dan Pelancaran Carsome Autofair 2025 pada Khamis.

Yusoff Mahadi merangkap Timbalan Presiden FAM berkata, kejatuhan pasukan KDA FC dan Perak FC wajar dilihat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan yang perlu dilalui sebelum mampu bangkit lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Pasukan macam ini perlu ruang untuk ambil nafas, susun balik pasukan dan perlahan-lahan bina kekuatan. Harapan kita, suatu hari nanti mereka akan kembali ke Liga Super.

“Sebenarnya kalau ikut tarikh dah terlepas tarikh. Tapi kerana Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru saja mengumumkan ini, jadi kita kena bagi sedikit masa untuk pasukan-pasukan ini membuat keputusan yang terbaik. Saya di AFL  sentiasa memberi ruang untuk mereka kekal beraksi," jelasnya.

Dalam kenyataan pada Khamis, MFL mengesahkan mereka mengeluarkan 13 lesen kebangsaan kepada 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga A1 bagi saingan musim depan.

Pengumuman MFL itu disusuli dengan kejutan apabila Sri Pahang FC merupakan salah satu daripada 11 kelab menerima lesen walaupun pada mulanya dikatakan akan menarik diri.

Bagi dua kelab Liga A1 pula, MFL memberikan lesen tersebut kepada Melaka FC dan Imigresen FC sekali gus menguatkan spekulasi mereka bakal mengisi slot Liga Super sebagai wakil dari dua liga bawahan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram