Kuota Asean Selangor boleh diisi bekas import Perak, Terengganu, Pahang


  • Podium
  • Ahad, 27 Apr 2025

Safuwan dilaporkan akan meninggalkan skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kali ini.

SELANGOR FC dijangka melakukan rombakan pasukan pada jendela perpindahan kali ini dengan beberapa pemain akan ditunjukkan jalan keluar kerana tidak menepati standard ditetapkan atau kontrak yang sudah berakhir.

Ini termasuk kapten pasukan, Safuwan Baharudin yang dilaporkan akan kembali ke kampung halaman selepas pihak pengurusan memilih untuk tidak menyambung tempoh perkhidmatannya.

Meskipun memikul peranan besar, dia yang merupakan tonggak skuad kebangsaan Singapura masih akan dilepaskan kerana usianya sudah meningkat dilihat tidak lagi sesuai dalam pasukan.

BACA LAGI: Bukan saja Safuwan, kapten JDT-Pahang-Sabah juga mungkin 'angkat kaki'

BACA LAGI: Dicemuh Ultrasel, jodoh kembali bertaut bersama Gergasi Merah antara 3 momen Safuwan Baharudin dalam ingatan

Pemergiannya menyaksikan skuad Gergasi Merah masih memiliki kuota import dari Asia Tenggara (Asean) yang perlu diisi mana-mana pemain sesuai dengan gaya permainan Katsuhito Kinoshi.

Bagaimanapun, untuk mencari pengganti, Selangor FC tidak boleh terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan kerana memerlukan seseorang yang mudah menyesuaikan diri dalam landskap Liga Super.

Jadi, untuk menepati kriteria tersebut, mereka dinasihati mendapatkan pemain yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia dengan beberapa calon tersedia dalam pelbagai posisi kritikal.

1. Jesper Nyholm

Pemergian Safuwan sudah tentu memerlukan seorang pengganti segera dengan mana-mana pemain diperlukan bagi membimbing barisan pertahanan yang boleh dianggap masih muda.

Jadi, untuk mencari seorang bek Asean dengan pengalaman Liga Super, Jesper Nyholm yang pernah beraksi bersama Perak FC musim lalu merupakan antara calon terbaik.

Jesper boleh mengukuhkan benteng pertahanan skuad Gergasi Merah. Facebook/Perak FC

Dia yang memiliki ketenangan dalam mematahkan serangan pihak lawan perlu diketengahkan pihak pengurusan untuk mencari pengganti kepada bekas kapten Selangor FC itu.

Bagaimanapun, timbul keraguan mengenai kesesuaiannya sebagai pengganti jangka masa panjang kerana kecederaan serius pernah dialami menimbulkan keraguan mengenai masa depannya.

Ini kerana Selangor FC memerlukan seorang yang cergas sepanjang musim dalam misi menampilkan persembahan lebih cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

2. Faris Ramli

Tidak boleh dinafikan bahawa jentera serangan Selangor FC sedikit tempang musim ini, lebih-lebih lagi dengan nasib malang menimpa Faisal Halim yang menyaksikan Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez memikul tanggungjawab berat.

Hal tersebut menimbulkan khabar angin bahawa kelab Lembah Klang berkenaan bersedia mendapatkan khidmat bekas tonggak Sabah FC, Saddil Ramdani yang bagaimanapun lebih tertarik untuk pulang ke Indonesia.

Faris Ramli boleh menajamkan bahagian serangan Selangor FC. Facebook/Terengganu FC

Jadi, sekiranya Selangor FC masih mahu mendapatkan pemain Asean di posisi serangan, Faris Ramli yang pernah beraksi buat Terengganu FC merupakan calon ideal.

Pemain yang kini beraksi di Singapura bersama Tampines Rovers pasti tertarik sekiranya skuad Gergasi Merah membuat tawaran kerana ia memberi ruang buatnya menimba pengalaman di pentas Asia.

Usianya yang baru mencecah 32 tahun bukanlah penghalang buatnya memberikan impak terbaik dengan kelincahan dimilikinya boleh menutup kekurangan dialami Selangor FC musim ini.

3. Kevin Ingreso

Selain posisi sayap dan pertahanan, jentera tengah Selangor FC juga perlu diperbaiki dengan pasukan tersebut memerlukan pemain untuk melengkapkan gandingan antara Nooa Laine dan Noor Al-Rawabdeh.

Melihat kepada posisi kerap dipakai Kinoshi, skuad Gergasi Merah memerlukan seseorang yang boleh menghidu serangan pihak lawan dengan peranan itu sebelum ini dipikul Alex Agyarkwa.

Oleh itu, pemain Asean sesuai untuk posisi tersebut adalah bekas import Sri Pahang FC, Kevin Ingreso yang pernah beraksi di Pantai Timur untuk kira-kira setahun.

Ingreso boleh menambah variasi dalam barisan tengah Selangor FC. Facebook/Sri Pahang FC

Dia yang kini beraksi buat kelab amatur di Jerman, Altona 93 masih boleh kembali ke tahap profesional dan Liga Super, lebih-lebih lagi dengan usianya baru sahaja 32 tahun.

Meskipun tempatnya dalam kesebelasan utama tidak boleh dijamin, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban dipikul Alex Agyarkwa selain memberi Kinoshi peluang untuk membuat rombakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram