
APABILA minat anak jadi satu peluang untuk eratkan hubungan keluarga, segalanya terasa lebih bermakna walaupun perlu bangun seawal pukul 4 pagi dan berpanas di bawah terik mentari.
Itulah semangat ditunjukkan oleh dua keluarga yang sanggup meredah jarak dan cuaca semata-mata untuk memberikan anak mereka pengalaman berharga.
Momen manisnya adalah menonton perlawanan bola sepak Manchester United secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA LAGI: Rekaan biophilic akses kepada alam semula jadi, gaya hidup hijau buat kediaman lebih tenang
Dari televisyen ke stadium: Pengalaman pertama tak ternilai
Bagi Aliff Muzshahir, 31, peluang melihat pasukan kegemarannya, Manchester United (MU), secara langsung bersama keluarga bukan sahaja impian yang tercapai, tetapi satu bentuk pendidikan awal untuk anak-anak.
"Sebelum ini tengok dekat televisyen sahaja. Apabila tengok depan mata, rasa macam peluang sangat menarik untuk keluarga.
"Pertama kali MU main sini dengan jurulatih baharu, pemain baharu. Walaupun musim ini agak hambar, kita tetap nak tengok secara langsung depan mata," katanya kepada Majoriti.
Bagi Aliff (kiri) peluang melihat pasukan kesayangan secara langsung bersama keluarga merupakan impian yang tercapai.
Lebih manis, Aliff membawa seluruh ahli keluarga dari Pulau Pinang, memulakan perjalanan seawal 4 pagi.
Ia bukan semata-mata kerana minat peribadi, tetapi satu usaha memupuk minat anak-anak terhadap sukan sejak kecil.
"Saya akan sokong anak saya kalau dia minat bola. Kita bagi sokongan sepenuhnya."
Sambutan hari lahir dalam suasana meriah
Bagi Qistina Rosli, 35, pula, sambutan hari lahir anak keduanya kali ini cukup istimewa. Hadiah? Tiket menyaksikan MU beraksi secara langsung.
"Anak saya nombor dua hari ini hari jadinya. Jadi inilah hadiah hari jadi. Memang bawa satu keluarga,” katanya sambil memegang erat tangan anaknya, Nik Adam Qasyaf, 9 yang turut berkongsi keterujaan ingin melihat Alejandro Garnacho bermain.
"Best sangat lah! Macam pertama kali,” kata Nik Adam, sambil tersenyum apabila ditanya perasaannya.
Qistina (kanan) membuat kejutan buat anak keduanya, Adam dengan membeli tiket perlawanan sebagai tanda hadiah hari jadi.
Menurut Qistina, tiket telah dibeli lebih awal dan diberitahu kepada anak secara mengejut ketika sedang makan di kedai sekali gus mencipta satu memori manis yang pasti sukar dilupakan.
Sokongan penuh ibu bapa
Bukan mudah membawa anak kecil ke stadium, apatah lagi dalam keadaan cuaca yang panas.
Namun bagi ibu bapa seperti Qistina dan Aliff, semua itu bukan halangan.
"Serius mencabar, dengan anak dan panas sekarang ini. Tapi ini untuk anak, kita sokong minat dia,” kata Qistina.
Malah, anaknya telah bermain bola sejak umur empat tahun dan kini aktif dalam kelab bola sepak.
"Kalau dia minat dan nak ceburi bidang sukan, kita 100 peratus sokong."
Lebih sekadar bola
Sama ada peminat tegar MU atau tidak, apa yang lebih penting dalam kisah ini ialah nilai sokongan dan keprihatinan ibu bapa terhadap minat dan impian anak-anak.
Walaupun anak-anak mungkin belum tentu akan menjadi bintang bola sepak suatu hari nanti, pengalaman seperti itu boleh membentuk semangat, keyakinan diri, dan kenangan yang akan dibawa hingga dewasa.
Sebagaimana kata Aliff, "Kalau saya dah bawa dari kecil, dia akan ingat dan mungkin bila besar nanti, dia pula bawa anak dia tengok bola.”
Itulah keindahan sikap keibubapaan berasaskan minat dan sokongan mencipta detik bersama, satu pengalaman dalam satu perjalanan yang panjang sebagai sebuah keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram