
NAMA bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air selepas mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup menentang Manchester United.
Beraksi bersama skuad Asean All-Stars, Azam Azmi berjaya mengekang pergerakan lincah bintang muda The Red Devils, Alejandro Garnacho sekali gus mempamerkan tahap keyakinan dan kematangan permainan yang tinggi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu itu menjadi medan untuk Azam Azmi membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.
BACA LAGI: Amorim jaga hati fans Man United, Mount turun Bukit Jalil untuk menang
BACA LAGI: Amorim tak mahu skuad terlalu besar, sedia ketengah bakat muda Man United
Meskipun berdepan pasukan gergasi dari England, tonggak Sang Penyu itu tidak gentar dan tampil tenang mengawal situasi dalam aksi yang penuh dramatik di Bukit Jalil.
Tindakan berani Azam Azmi tersebut mendapat pujian meluas di media sosial selepas satu klip video memaparkan detik-detik tonggak TFC tersebut melakukan terjahan bersih ke atas Garnacho tular.
Aksi tersebut memperlihatkan ketenangan dan keyakinan Azam Azmi walaupun berdepan dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Azam Azmi yang memulakan perlawanan dari bangku simpanan, dimasukkan pada babak kedua oleh Ketua Jurulatih Asean All-Stars, Kim Sang-sik.
Kehadirannya nyata memberi impak apabila dia berjaya menyekat beberapa gerakan serangan lawan termasuk satu situasi serangan balas yang menyaksikan Azam Azmi berjaya merampas bola daripada Garnacho dengan kemas.
Rata-rata penyokong memuji semangat juang dan ketenangan Azam Azmi yang tidak gentar berhadapan dengan salah seorang pemain sayap berbakat Manchester United dan skuad kebangsaan Argentina.
Menariknya, aksi Azam Azmi juga mengimbau kenangan peminat terhadap momen pada Jun 2023 apabila pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam turut mencuri tumpuan selepas melakukan terjahan keras ke atas Garnacho dalam pertemuan persahabatan antara Argentina dan Indonesia.
Perlawanan yang berlangsung penuh semangat itu akhirnya menyaksikan Asean All-Stars menewaskan Manchester United 1-0, hasil jaringan tunggal Maung Maung Lwin dari Myanmar pada minit ke-71. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram