
MUSIM 2025 Liga Super menyaksikan fenomena menarik apabila pemain-pemain dari rantau Asia Tenggara khususnya yang berperanan sebagai penyerang dikatakan bakal memeriahkan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M).
Dengan polisi kuota Asean yang semakin dimanfaatkan secara strategik, beberapa pasukan dilihat mahu membawa masuk pemain yang bukan sahaja berpengalaman, malah mampu menjadi penggerak utama jentera serangan mereka.
Keputusan beberapa pasukan yang mahu membawa masuk pemain dari Asean juga sebenarnya boleh mengurangkan kos perbelanjaan mereka daripada perlu membawa pemain dari liga Asia, Eropah mahupun Amerika Selatan.
BACA LAGI: 'Willian Lira lebih bagus berbanding Ronnie Fernandez, cuma dia masih import biasa-biasa'
BACA LAGI: Ronnie Fernandez ditunjuk jalan keluar dari Selangor, penyerang ‘flop’ Kedah dikhabar jadi pengganti
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini membenarkan kelab mendaftar 15 pemain import dengan, sembilan pemain boleh disenaraikan dalam perlawanan termasuk pemain utama dan simpanan yang terdiri daripada empat pemain terbuka, seorang pemain Asia, dan dua pemain dari negara Asean.
Kehadiran pemain import dari Asia Tenggara turut memberi impak positif terhadap pemain tempatan, khususnya di bahagian serangan berikutan ia akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan tonggak yang ada
Selain itu, ia juga sebenarnya membuka peluang kepada lebih ramai pemain muda tempatan untuk belajar daripada pengalaman serta gaya permainan antarabangsa yang dibawa oleh bintang Asean tersebut.
Dengan khabar angin yang sedang menjadi topik perbincangan penyokong, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga penyerang dikaitkan dengan kelab Liga Super menjelang saingan 2025/2026 nanti;
1) Joao Pedro
Pedro (kanan) dikatakan akan menyertai KL City FC. — Facebook/FAM
Pada awal Mei lepas, Joao Pedro dikatakan hampir pasti menyarung jersi Kuala Lumpur (KL) City FC dengan penyerang berkenaan dikatakan akan membawa perubahan kepada aspek serangan skuad The City Boys bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2025/2026.
Penyerang skuad kebangsaan Timor Leste itu bukan nama asing dalam saingan domestik susulan Pedro sebelum ini pernah menyarung jersi UiTM FC pada musim 2022 hingga 2021, sebelum dia kembali ke negaranya.
Pedro yang juga berperanan sebagai ketua pasukan skuad The Crocodiles itu sebelum ini mencuri tumpuan apabila beraksi menentang Harimau Malaya dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF 2024.
Ketika perlawanan berkenaan, Timor Leste mendahului 2-1 dengan Pedro mencetak nama sebagai penjaring. Namun, barisan pemain Harimau Malaya berjaya bangkit dan akhirnya membolehkan skuad kebangsaan meraih kemenangan 3-2.
Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu kini bermain untuk kelab Kemboja iaitu Angkor Tiger dengan Pedro berhasil mencetak tujuh gol dan enam bantuan jaringan dalam 26 aksi domestik dia diturunkan.
2) Ramadhan Sananta
Ramadhan akan memperkuatkan serangan DPMM FC. — Agensi
Pemain kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta sah bakal memperkuatkan kelab Brunei, DPMM FC dalam saingan Liga Super bagi musim 2025/2026. Dia mengesahkan persetujuannya untuk menyertai kelab berkenaan sebagai pemain kuota Asean.
Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan DPMM FC menerusi laman sesawang kelab pada Rabu, sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai masa depan penyerang berusia 22 tahun berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, Ramadhan turut menerima beberapa tawaran daripada kelab besar Indonesia, namun memilih untuk berhijrah ke Brunei bersama keluarganya sebagai langkah seterusnya dalam kariernya.
Sepanjang musim 2024/2025 bersama Persis Solo, Ramadhan mencatatkan lima jaringan dalam 29 penampilan. Meskipun jumlah jaringannya tidak begitu memberangsangkan, dia tetap dianggap sebagai prospek penting Indonesia.
Penyertaan DPMM FC ke dalam Liga Super Malaysia selepas mengundurkan diri daripada Liga Singapura dijangka membawa warna baharu kepada saingan liga dengan kehadiran Ramadhan pula akan menambah seri persaingan di peringkat Asean dalam bola sepak Malaysia.
3) Ikhsan Fandi
Ikhsan merupakan penyerang BG Pathum. — Agensi
Seorang lagi penyerang ASsean dikaitkan dengan kelab Liga Super ialah Ikhsan Fandi. Pemain itu dikaitkan dengan Selangor FC bagi mengisi peranan yang ditinggalkan penyerang import, Ronnie Fernandes.
Ronnie menyertai kelab gergasi Chile iaitu Club Deportivo Palestino dengan kelab yang sedang memburu kejuaraan Liga Chile itu optimis pemain berkenaan akan menambah kekuatan bahagian serangan mereka.
Pemain berusia 26 tahun itu tidak berada di prestasi cemerlang bersama kelab semasanya, BG Pathum United apabila Ikhsan hanya merekodkan tiga gol dalam 20 perlawanan dia diberikan peluang pada musim 2024/2025.
Oleh itu, jika anak kepada Fandi Ahma itu berpindah ke Selangor akan membuka peluang Ikhsan untuk mendapatkan banyak minit permainan dan mengembalikan semua potensinya sebagai penyerang tengah.
Bukan itu sahaja, pengalaman Ikhsan di liga luar negara seperti Norway dan Thailand menjadikan dia sebagai contoh ideal kepada bakat-bakat muda Gergasi Merah untuk menambah baik karier bola sepak mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram