
AKSI persahabatan antara Manchester United dan Asean All Stars yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerima sambutan hangat daripada ribuan penyokong dari sekitar Asia Tenggara.
Ini kerana reputasi skuad The Red Devils membuatkan ramai enggan melepaskan peluang hadir ke gelanggang perlawanan meskipun terpaksa mengorbankan wang ringgit dan masa masing-masing.
Antara penyokong yang hadir dari jauh ialah Nazirul Abdul Rahman yang tiba dari Miri, Sarawak bersama rakannya dengan dia teruja untuk menonton kelab kesayangannya itu secara langsung.
BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen
BACA LAGI: Amorim jaga hati fans Man United, Mount turun Bukit Jalil untuk menang
"Alhamdulillah, ada rezeki Manchester United datang ke Kuala Lumpur (KL), jadi kita tidak boleh lepaskan peluang ini. Kita sampai semalam (Selasa) untuk hadiri sesi 'meet and greet', sempat hadir cuma terlalu ramai orang," katanya kepada Majoriti.
Peminat berusia 30 tahun itu kelihatan cukup teruja dengan pertembungan itu kerana kali terakhir Manchester United hadir beraksi di KL adalah pada 2009, sekali gus membuatkan aksi tersebut sukar dilepaskan.
Nazirul sudah tentu bukan satu-satunya penyokong dari kepulauan Borneo yang hadir meskipun pelaburan besar terpaksa dilakukan untuk membayar tiket penerbangan dan perlawanan.
Bagaimanapun, pengorbanan sedemikian turut dilakukan ribuan peminat Manchester United yang lain dengan ada daripadanya berasal dari negara sekitar Asia Tenggara.
Manchester United mengalami musim mengecewakan di pentas domestik musim ini. — Agensi
Salah seorang daripadanya ialah Trung Nam Trung yang tiba dari dengan harapan tinggi untuk menyaksikan skuad The Red Devils menundukkan Asean All Stars dalam perlawanan itu.
"Saya tiba pada Selasa dan saya membelanjakan kira-kira RM300 untuk menonton perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya teruja untuk menonton Bruno Fernandes. Ia akan jadi satu pertembungan amat menarik," katanya.
Trung turut disertai penonton lain, termasuk Supthai Ranchai yang tiba dari Thailand bersama rakan-rakan lain kerana cukup tertarik dengan kehadiran gergasi bola sepak Eropah itu.
"Saya pernah saksikan Manchester United semasa mereka datang ke Thailand pada 2024 ketika mereka menentang Liverpool untuk aksi pramusim. Jadi, saya tidak mahu lepaskan peluang sebegitu.
"Saya anggap skuad The Red Devils boleh menang sehingga 3-0 kerana mereka mempunyai skuad lebih baik walaupun tidak mencatatkan musim lebih baik. Saya ramal (Rasmus) Hojlund akan catat dua gol sementara satu lagi gol disumbangkan Harry Maguire," katanya.
Lebih menarik lagi, puluhan ribu penyokong di venue perlawanan turut disertai tiga peminat setia dari Kenya yang sememangnya tidak sabar untuk menonton pemain kegemaran mereka.
"Ia adalah satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Manchester United adalah kelab kesayangan kami. Ini adalah kali pertama kami saksikan Manchester United secara langsung, jadi kami amat teruja.
"Kami sebelum ini pernah datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan satu perlawanan kelayakan antara Oman dan Malaysia. Ia merupakan stadium cukup baik dan kami amat teruja dapat menonton Manchester United pula," kata Khair Muhammad yang disertai dua lagi sahabatnya.
Kemeriahan disaksikan di stadium keramat itu menceritakan bagaimana skuad The Red Devils masih memiliki tarikan cukup hebat meskipun hanya berada di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram