WAKIL kelab sepak takraw antarabangsa kembali membuat penampilan dalam Sepak Takraw League (STL) Champions Cup bagi musim 2024 yang diadakan pada November.
Empat kelab jemputan iaitu Thai Airforce Takraw Club (Thailand), Garuda Sepak Takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura) bakal berentap merebut kejuaraan bersama empat lagi wakil dari STL.
Bagi edisi kali ini, ia akan diadakan di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, Selangor bermula 13 hingga 17 November depan.
BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ada 'resipi' rahsia, mahu kekal juara bertahan STL 2024 — Syahir Rosdi
BACA LAGI: [VIDEO] 10 tahun jaring tak pernah koyak, servis Sobey pecah rekod STL
Sebagai rekod, ia adalah kemunculan semula wakil antarabangsa selepas kali terakhir menyertai kejohanan tersebut pada 2019.
Bagi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pasukan tempatan yang bakal mewakili negara di STL Champions Cup mampu memberikan saingan kepada pasukan jemputan.
Hal ini kerana, peningkatan dari segi kualiti permainan pastinya akan membuatkan mereka mampu mencabar sekali gus membawa pulang kejuaraan.
"Meskipun tumpuan pasti terarah kepada kelab dari negara jiran Thailand, namun saya yakin dengan kemampuan pemain dan pasukan sepak takraw tempatan yang telah menunjukkan peningkatan dan kualiti permainan yang sangat baik terutamanya kepada pemain muda yang berjaya ditonjolkan pada saingan STL Premier kali ini.
"Pastinya empat pasukan tempatan ini nanti akan memberi aksi dan saingan terbaik bagi merebut dan seterusnya menjulang STL Champion Cup," kata Reduan.
Penglibatan kelab luar secara tidak langsung menaikkan reputasi STL di luar negara hingga mendapat perhatian di peringkat Asia serta Amerika Syarikat.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pihaknya berada dalam posisi baik untuk memastikan STL dapat ditonton di beberapa negara luar untuk merasai kehangatannya.
"Kita sentiasa melakukan penambahbaikan dalam setiap penganjuran dan aspek pembangunan pemain juga turut dititikberatkan dalam memberi pendedahan lebih kompetitif selain untuk meningkatkan martabat sukan sepak takraw melalui STL ini dengan lebih berprestij.
"Selama satu dekad penganjuran, STL telah berjaya membawa sukan ini bukan hanya di peringkat Asia malah telah menembusi peringkat antarabangsa seperti Amerika Syarikat.
"Pada musim ini, kami telah menjalin kerjasama dengan beberapa saluran televisyen antarabangsa seperti Fiji, Afghanistan dan Mauritius, kami juga masih lagi dalam rundingan untuk berkolaborasi dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa yang lain,” ujarnya.
Musim lalu menyaksikan Negeri Sembilan Antlers merupakan juara bagi STL Champions Cup.
Jika mengambil kira kedudukan semasa, empat wakil negara ke kejohanan tersebut adalah Kuala Lumpur Thunder, Perak Bison, Selangor Pistons dan Terengganu Turtles. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram