Diundi bertemu Thailand, 'gameplay' Nafuzi jadi sandaran bawa Malaysia ke Piala Asia B-23


  • Podium
  • Khamis, 29 Mei 2025

Nafuzi (kiri) perlu membawa Malaysia ke Piala Asia B-23. — Malaysia NT

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan berdepan cabaran menarik selepas nasib mereka dalam aksi kelayakan Piala Asia B-23 diketahui pada Khamis.

Selepas majilis undian yang diadakan di AFC House, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, skuad kendalian Nafuzi Zain diletakkan bersama-sama Thailand, Lubnan dan Mongolia dalam kumpulan F.

Dengan aksi kelayakan diadakan secara berpusat, maka Thailand dipilih sebagai tuan rumah pada 1 hingga 9 September.

BACA LAGI: Kepantasan, 'combination play' kunci Harimau Malaya hadapi cabaran fizikal sasa pemain Afrika

BACA LAGI: [VIDEO] Jadi buruan Kelantan- kelab Indonesia, ‘saham’ Aguero terus mencanak lepas dipuji Amorim

Tugas Nafuzi dan skuadnya adalah untuk menjadi sebahagian daripada 15 negara yang berjaya layak ke pusingan akhir yang akan diadakan di Arab Saudi pada 2026.

Sebanyak 11 juara peringkat kumpulan akan mendapat tempat ke pusingan akhir sementara bakinya diisi oleh empat naib juara kumpulan terbaik.

Malaysia tiada jalan lain selain mensasarkan tempat sebagai juara kerana untuk melalui jalan sebagai tempat kedua terbaik agak berisiko kerana kuotanya yang sedikit iaitu empat.

Namun begitu, penyokong berasa yakin yang Nafuzi boleh melakukannya kerana reputasinya mempunyai corak taktikal yang menarik serta kecenderungannya bekerja dengan bakat-bakat muda.

Ditambah dengan masa berbaki sekitar tiga bulan sebelum kelayakan bermula, masa masih ada untuk Nafuzi merencana taktikal terbaik.

"Corak permainan Nafuzi Zain terbaik, boleh ni nak tewaskan Thailand. Skuad B-23 Thailand dengan kita lebih kurang saja," kata penyokong bernama PokRull Wen.

"Kita tengok baka tulen kita beraksi, didoakan semoga berjaya. Boleh tahan juga kumpulan yang Malaysia masuk ni," ujar Zamri Zamri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram