Hatrik Bergson kuasai Darul Aman, momen anak jati Baling ‘ayam-ayamkan’ Syihan ubati hati fans Kedah


  • Podium
  • Ahad, 30 Mac 2025

Bergson meledak hatrik untuk membantu JDT menang 6-1 ke atas Kedah. — Facebook/JDT

SETELAH berehat hampir 10 hari bagi memberi laluan kepada aksi pasukan kebangsaan, kini saingan Liga Super kembali bersambung melibatkan satu perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu.

Skuad Harimau Selatan terus memperkukuh kedudukan di persada Liga Super musim 2024/2025 selepas membelasah Sang Kenari dengan keputusan 6-1.

Aksi yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dengan pasukan tuan rumah juga tidak mudah mengangkat bendera putih di tangan juara Liga Super 2024/2025 itu.

BACA LAGI: Kami jumpa JDT dalam mood terbaik sebelum Aidilfitri — Ariff Farhan

BACA LAGI: [VIDEO] 'JDT memang kuat...', menang atau kalah tolak tepi janji aura final 2014 ada

Selama 17 minit permainan, penjaga gol JDT, Syihan Hazmi diuji dengan percubaan demi percubaan dari kem KDA FC dengan pemain sayap Sang Kenari iaitu Fayadh Zulkifli memainkan peranan mengkucar-kacirkan bahagian pertahanan JDT.

Bagaimanapun, nasib lebih awal menghampiri skuad kendalian Hector Bidoglio apabila selepas memperdayakan penjaga gol KDA FC iaitu Ifwat Akmal, Bergson da Silva berhasil mencetak gol pertama untuk Harimau Selatan selepas 17 minit permainan.

Tidak sampai seminit, jaringan susulan berhasil diledak oleh penyerang Harimau Malaya, Romel Morales selepas menerima hantaran daripada Bergson.

Kesilapan bek KDA FC, Wan Amirul Afiq yang menolak Oscar Arribas pada minit ke-22 permainan memberi sepakan penalti kepada Kedah. Peluang itu dimanfaatkan oleh Bergson untuk menambah jaringan keduanya pada malam ini.

Pada minit ke-33 permainan, lencongan bola yang dilakukan oleh Afeeq Iqmal Rosli selepas 'mengayam-ayamkan' Syihan berhasil meletakkan dirinya sebagai penjaring pertama untuk KDA FC.

Jaringan dari anak jati Baling, Kedah itu sekurang-kurangnya memberi harapan buat Sang Kenari untuk memberi cabaran sengit kepada Harimau Selatan di separuh masa kedua.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kedah cuba mengubah rentak permainan dengan melancarkan serangan balas pantas, namun barisan pertahanan Harimau Selatan kekal utuh menyekat setiap pergerakan pemain tuan rumah.

Taktik agresif Sang Kenari itu turut menyaksikan empat pemain pertahanan JDT iaitu Arribas, Jordi Amat, Matthew Davies, dan Park Jun-heong menerima layangan kad kuning daripada pengadil, Nazmi Nasaruddin.

Pada minit ke-66 permainan, situasi bola mati dimanfaatkan oleh Jordi Amat apabila tandukannya menewaskan Ifwat dan meletakkan Harimau Selatan di kedudukan selesa 4-1.

JDT terus gah apabila pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor, mencetak nama sebagai penjaring gol kelima pada minit ke-83. Rembatan padunya terkena Wan Amirul Afiq sebelum bola menerjah jaring.

Tidak cukup dengan itu, Bergson melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan apabila menjaringkan gol keenam pada minit terakhir perlawanan. Hatrik peribadinya hadir menerusi sepakan penalti selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan dalam kotak penalti.

Keputusan 6-1 kekal hingga wisel penamat, membolehkan JDT terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan 64 mata, manakala Kedah kekal di tangga ke-11 dengan 20 mata.

Selepas ini, Kedah akan menentang Sri Pahang FC pada 8 April, manakala JDT bakal melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 10 April nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram