Sukar saingi Syihan di JDT, Haziq Nadzli ada 3 jalan keluar kembang karier


  • Podium
  • Ahad, 27 Apr 2025

Kontrak Haziq Nadzli bersama Perak FC bakal tamat pada 30 April ini. — Facebook/Perakfc

BARU-BARU ini, arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita duka apabila Perak FC secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga Super musim depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi menerusi satu kenyataan rasmi pada Sabtu dengan menyatakan bahawa masalah kewangan serius menjadi punca utama keputusan drastik tersebut diambil.

Susulan pengumuman itu, masa depan barisan pemain skuad The Bos Gaurus (TBG) kini menjadi tanda tanya, termasuk ke manakah hala tuju mereka selepas ini untuk meneruskan karier masing-masing.

BACA LAGI: ‘Pray for Kedah’, cinta bekas import Sang Kenari masih mekar, sempat titip doa

BACA LAGI: 'Terima kasih Perak,' fans restu Haziq Nadzli tukar angin ke kelab Borneo

Antara pemain yang sudah memberi bayangan bakal meninggalkan pasukan adalah penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.

Kontrak Haziq yang dijangka tamat pada 30 April ini, menurut laman Transfermarkt, membuka ruang buatnya untuk mencari kelab baharu bagi meneruskan perjuangannya dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Haziq tidak perlu terlalu gusar kerana beberapa kelab Liga Super dipercayai sedang mencari penjaga gol bagi memperkukuh benteng terakhir pasukan masing-masing.

1. Kuching City FC

Kuching City FC antara kelab yang dilihat wajar menjadi pilihan Haziq untuk meneruskan perjuangannya sebagai benteng terakhir pasukan.

Hal ini kerana, umum mengetahui di JDT, pemain berusia 27 tahun itu berdepan persaingan sengit dengan Ahmad Syihan Hazmi yang kini merupakan penjaga gol utama negara dan pilihan pertama kelab.

Sebaliknya di Kuching City, Haziq berpeluang besar untuk merebut tempat sebagai penjaga gol utama dan mengekalkan minit permainan yang konsisten, sesuatu yang penting untuk kelangsungan karier serta kekal dalam radar skuad kebangsaan.

Haziq akan berdepan persaingan sengit dengan Ahmad Syihan Hazmi yang kini merupakan penjaga gol utama JDT. Facebook/Penangfc

Malah, dengan usia dua penjaga gol The Cats, Shahril Sa'ari, 35, dan Wan Azraie, 38,  yang meningkat, sudah pasti peluang Haziq untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol makin terbuka.

Di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, Kuching City menunjukkan peningkatan dari segi prestasi dan struktur pasukan.

Dengan menjadi tonggak utama di kelab seperti Kuching City, Haziq berpeluang membina semula reputasinya sebagai antara penjaga gol terbaik di Liga Malaysia, berbanding sekadar memanaskan bangku simpanan di kelab besar seperti JDT.

2. Sabah FC

Jika kembali ke Selatan tanah air, Haziq berdepan realiti sukar untuk mendapat tempat sebagai penjaga gol utama memandangkan posisi itu kini didominasi oleh pemenang Penjaga Gol Terbaik musim 2024.

Kekurangan minit permainan boleh menjejaskan prestasinya serta peluang untuk kekal bersama skuad kebangsaan.

Sabah FC kini dibarisi penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, namun usianya yang semakin meningkat menjadikan keperluan untuk pengganti jangka panjang satu keutamaan.

Penjaga gol Sabah FC, Damiem Lim sering berdepan dengan isu kecederaan.Facebook/Penangfc

Damien Lim, seorang lagi penjaga gol utama Sabah, sering berdepan masalah kecederaan yang menjejaskan konsistensinya dalam kesebelasan utama.

Kehadiran Haziq mampu memberikan kestabilan dan saingan sihat dalam pasukan serta menjamin kekuatan berterusan di posisi penting itu.

Jika Haziq memilih Sabah, dia bukan sahaja berpeluang untuk beraksi secara konsisten, malah turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang semakin menunjukkan potensi besar dalam Liga Malaysia di bawah kendalian Martin Stano.

3. Penang FC

Kekurangan masa bermain di JDT boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi dan karier Haziq terutamanya di peringkat kebangsaan.

Jika kembali ke JDT, Haziq dijangka tidak mempunyai peluang untuk bersaing sebagai penjaga gol utama kerana perlu bersaing dengan Syihan.

Sebaliknya, Penang FC dilihat sebagai destinasi yang lebih menjanjikan untuk Haziq kerana penjaga gol utama Penang FC, Sikh Izhan Nazrel dikatakan bakal meninggalkan kelab itu musim depan, membuka ruang bagi Haziq untuk mengisi posisi tersebut.

Penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan dikatakan bakal meninggalkan kelab itu musim depan. Facebook/Penangfc

Selain itu, Penang FC baru-baru ini berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk mewakili Malaysia di pentas Asia.

Perkara itu memberi Haziq peluang berharga untuk beraksi di pentas Asia dan meningkatkan lagi pengalaman antarabangsa dalam kariernya.

Gabungan peluang bermain secara tetap serta prospek beraksi di pentas Asia menjadikan Penang FC destinasi ideal untuk Haziq mengukuhkan kariernya, sekali gus memberi peluang untuk menyinar lebih besar dalam dunia bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram