'Ubi muda' JDT-Selangor, bintang naturalisasi baharu antara 38 pemain dipanggil ke kem Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 15 Mei 2025

Skuad kebangsaan memiliki misi besar dalam masa terdekat. — Facebook/Malaysia NT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan seramai 38 pemain yang bakal menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya bagi perlawanan menentang Cape Verde dan Vietnam.

Dalam satu pengumuman yang dibuat pada Khamis, badan induk tersebut menyenaraikan nama-nama utama seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Stuart Wilkin.

Bagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski turut memanggil beberapa nama baharu, termasuk Gabriel Palmero yang merupakan pemain naturalisasi kedua dalam revolusi Harimau Malaya.

BACA LAGI: ‘Kami perlu keluar zon selesa’, Peter Cklamovski tak pandang rendah cabaran Cape Verde

BACA LAGI: 'Pelantikan Cheng Hoe inisiatif baik FAM dapatkan ubi muda buat Cklamovski, Nafuzi'

Sebelum ini, Palmero sudah dipanggil ke dalam kem latihan pasukan negara sebelum aksi menentang Nepal, namun digugurkan akibat kecederaan dan tidak sempat beraksi ketika perlawanan tersebut.

Jadi, peluang sekali lagi diberikan kepada bek kiri CD Tenerife B itu dengan penyokong turut mengharapkan Cklamovski dapat memberi minit permainan kepadanya.

Tidak terhenti di situ, jurulatih dari Australia berkenaan juga menyertakan bintang muda dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC seperti Alif Ahmad dan Haykal Danish.

Ini selari dengan pandangan dikongsikannya sebelum ini yang mahu menyaksikan penyertaan lebih ramai 'ubi muda' dalam pasukan senior dalam aksi kompetitif akan datang.

Prospek muda lain seperti Hong Wan, Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil yang reputasi masing-masing pernah didengari sebelum ini turut berada dalam senarai dengan ia pasti menarik untuk disaksikan.

Aksi pertama bakal dihadapi Harimau Malaya dalam masa terdekat adalah dalam perlawanan persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) pada 29 Mei depan.

Selepas itu, skuad kebangsaan bakal bertemu Vietnam bagi aksi kedua Kumpulan F bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dalam pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada 10 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram