
SELEPAS satu musim yang kurang memberangsangkan, ramai meramalkan Terengganu FC akan melakukan rombakan terhadap pasukan, termasuk melakukan penggantian terhadap barisan kejurulatihan.
Bagaimanapun, laporan terkini mengatakan pihak pengurusan kelab tidak akan melakukan perubahan yang bakal menyaksikan Badrul Afzan Razali kekal dalam jawatannya setelah menggantikan Tomislav Steinbruckner pada Oktober tahun lalu.
Keputusan itu semestinya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat Sang Penyu kerana masing-masing beranggapan jurulatih muda itu tidak sesuai untuk membawa pasukan dengan reputasi sebesar Terengganu FC.
BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan
BACA LAGI: Aura Stadium MBPJ tak gentarkan Terengganu, Badrul Afzan optimis jinakkan Gergasi Merah
Badrul Afzan (kanan) dilantik bagi menggantikan Tomislav yang digugurkan. — Facebook/Terengganu FC
Ini kerana Badrul Afzan sebelum ini tidak pernah menimba pengalaman dalam dunia kejurulatihan bersama mana-mana pasukan, sekali gus menyaksikan kebolehannya belum cukup memberangsangkan.
Namun, peminat kelab Pantai Timur itu tidak perlu terburu-buru dalam menunjukkan jalan keluar terhadap Badrul Afzan kerana masing-masing perlu memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepadanya.
Ini kerana berdasarkan pengalaman lalu, terdapat tiga jurulatih yang berjaya memperbaiki reputasi sendiri pada musim kedua, sekali gus menyangkal pandangan serong orang ramai berikutan permulaan sulit dalam bidang tersebut.
1. Nafuzi Zain
Sekiranya ditanya peminat bola sepak hari ini, mereka sudah tentu melihat Nafuzi Zain sebagai antara jurulatih terbaik muda negara selepas membuktikan kebolehan bersama Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Bagaimanapun, permulaannya dalam dunia kejurulatihan tidaklah semudah apa yang dijangka kerana dia yang hadir untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Irfan Bakti Abu Salim bergelut pada awalnya.
Dia yang dilantik pengendali sementara skuad Sang Penyu pada 2019 hanya dapat membawa pasukan itu ke tangga ketujuh Liga Super selain ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA seawal peringkat suku akhir.
Kasih sayang penyokong Sang Penyu terhadap Nafuzi Zain cukup menebal. — Facebook/Terengganu 11
Tetapi, prestasi terumbang-ambing itu tidak menjadi alasan bagi pihak pengurusan kelab untuk menggugurkannya, malah terus memberikan kepercayaan penuh supaya meletakkan skuad Sang Penyu kembali ke landasan.
Berkat dari kesabaran dan masa dilaburkan itu menyaksikan Nafuzi berjaya membawa Terengganu FC ke tangga kedua Liga Super 2022 sebelum dia memilih untuk menyertai KDA FC pada musim berikutnya.
2. Mehmet Durakovic
Perak FA menerima durian runtuh pada 2016 apabila mereka berjaya mendapatkan khidmat jurulatih ternama, Mehmet Durakovic bagi menggantikan mendiang Karl-Heinz Weigang yang semakin berusia.
Ini kerana Durakovic yang sebelum itu bersama Selangor FA cukup dikenali ramai dengan taktikal cukup menarik diterapkan sehingga membantu skuad Gergasi Merah menjuarai Piala Malaysia 2015.
Durakovic merupakan antara pengendali terbaik pernah dimiliki skuad TBG. — Facebook/MFL
Bagaimanapun, pengendali tersebut gagal memberi impak sebenar pada musim pertamanya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) apabila hanya menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima.
Tetapi, pihak pengurusan Perak bertindak untuk terus memberi kepercayaan penuh kepada Durakovic dengan membuat pelaburan pada jendela perpindahan akhir musim dengan pemain baharu seperti Jad Noureddine dan Brendan Gan tiba.
Kepercayaan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Durakovic membantu kelab Utara tanah air itu menjuarai Piala Malaysia musim berikutnya dengan ia kekal menjadi trofi akhir dijulang kelab tersebut sehingga hari ini.
3. Aidil Sharin Sahak
Musim ini, Kuching City FC mengejutkan ramai pihak selepas berjaya menampilkan aksi cemerlang sehingga menyaksikan mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.
Bagaimanapun, pencapaian itu pasti mustahil untuk dilakar sekiranya kelab Borneo tanah air itu enggan memberi masa mencukupi buat Aidil Sharin Sahak yang hanya tiba ke 'kerusi panas' kejurulatihan pada Ogos 2023.
Aidil Sharin membawa perubahan besar terhadap skuad The Cats pada musim kedua kendaliannya. — Facebook/Kuching City FC
Ini kerana pada awal tempohnya bersama skuad The Cats, dia tidak mencatatkan sebarang kemenangan, termasuk mengalami kekalahan kepada Sabah FC dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia.
Namun, memasuki musim kedua kendaliannya di Borneo tanah air, pelbagai perubahan positif dapat disaksikan kerana Aidil Sharin sudah menemui formula terbaik untuk membawa perubahan kepada pasukan.
Berkat daripada usaha dicurahkan jurulatih kelahiran Singapura tersebut menyaksikan Kuching City FC semakin dihormati dengan dia turut diangkat sebagai Jurulatih Terbaik Liga Super pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram