
SESI latihan skuad kebangsaan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), Padang Seri Gelam yang bermula pada Isnin mencuri perhatian kerana terdapat wajah-wajah baharu disedari penyokong.
Ini termasuk pembantu jurulatih skuad Harimau Selatan, Aidil Zafuan Abdul Abd Radzak serta penjaga gol muda kelab itu, Christian Abad yang kehadirannya mungkin menandakan episod baharu dalam arena bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, tumpuan lebih ditujukan terhadap kelibat jurulatih muda, Hairuddin Omar yang kelihatan bersama-sama pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain di sesi latihan berkenaan.
BACA LAGI: Melaka United antara 3 'game' penentu hala tuju Sang Penyu — Hairuddin Omar
BACA LAGI: Hairuddin mampu damaikan dua kem dalam TFC
Nafuzi (kiri) menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Seri Gelam yang bermula Isnin lalu. — Facebook/Malaysia NT
Kedua-dua mereka sebelum ini dilaporkan bakal bekerjasama buat skuad Harimau Muda, namun ia tidak disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tiada kejohanan akan dihadapi dalam masa terdekat.
Namun, kehadiran dua jurulatih itu di padang latihan sekali gus mengesahkan khabar angin tersebut dengan penyokong sudah tentu teruja akan masa depan pasukan pelapis negara.
Malah, legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki turut memuji gandingan Nafuzi dan Hairuddin yang dianggap satu pasangan serasi berdasarkan tujuh faktor utama.
"Pelantikan Hairuddin bagi pasukan B-23 negara memang sesuai untuk berganding dengan Nafuzi kerana Hairuddin merupakan bekas pemain kebangsaan yang lama juga beraksi. Selain itu, dia berjaya bawa Terengganu FC II sebagai juara Piala MFL.
Hairuddin (kanan) membantu Terengganu FC II menjuarai Piala MFL musim lalu. — Facebook/MFL
"Ramai juga penyokong dalam negara mengenalinya dan dia juga seorang jurulatih yang senang berdamping dengan pegawai serta pemain," katanya kepada Majoriti.
Bakat Hairuddin yang lebih dikenali sebagai Hai-O disedari semasa dia bertugas sebagai pembantu kepada Bojan Hodak semasa dalam skuad B-19 negara selama dua tahun bermula 2017.
Sejak itu, karier anak jati Setiu, Terengganu tersebut dalam bidang kejurulatihan terus berkembang apabila bertugas di samping Nafuzi Zain dalam skuad Sang Penyu pada 2022.
"Pengalaman Hairuddin semasa menjadi pemain boleh dijadikan mana-mana jurulatih import sebagai panduan dengan tempoh perkhidmatannya dalam bidang kejurulatihan masih boleh dikembangkan.
Nafuzi (kiri) dan Hairuddin pernah bekerjasama dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
"Faktor terakhir adalah kerana tiada lagi jurulatih lain dalam negara mempunyai kredibiliti sepertinya untuk jawatan tersebut yang boleh memikul peranan itu untuk lima tahun lagi," katanya.
Gandingan antara Nafuzi dan Hairuddin jelas membuahkan hasil kerana mereka berjaya membawa Terengganu FC ke kedudukan naib juara Liga Super 2022, sekali gus membawa mereka ke pentas Asia.
Bagaimanapun, kerjasama mereka menemui titik noktah pada musim berikutnya apabila Nafuzi menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kemudian menyaksikan Hairuddin dilantik sebagai pengendali skuad muda Sang Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram