
KEM Kuching City FC terpaksa menerima satu lagi tamparan menjelang musim baharu apabila penyerang utama mereka, Tchetche Kipre dikhabarkan bakal meninggalkan bumi Kenyalang menjelang musim depan.
Perkara itu didedahkan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu hantaran di laman X, yang memaklumkan bahawa jodoh Kipre bersama The Cats hampir ke penghujungnya.
Malah, pemain berusia 37 tahun itu kini dilaporkan akan menyertai Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/26.
BACA LAGI: 'Sirih pulang ke gagang,' Fandi Ahmad ikut jejak Nafuzi Zain-Ong Kim Swee dan otai Gergasi Merah
BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan
"Tchetche Kipre bakal membuat penampilan sedekad di Malaysia, difahamkan bekas penyerang Terengganu, Kedah dan KL City ini berhijrah dari Kuching City ke Penang untuk musim 2025/26 Liga Malaysia," tulisnya.
Penyerang berketinggian 1.72 meter itu bukanlah nama asing dalam bola sepak tempatan.
Sejak tiba di Malaysia pada 2017, Kipre telah beraksi bersama beberapa pasukan ternama seperti Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC sebelum menyertai Kuching City.
Penyerang berbisa The Cats, Kipre (kanan) bakal berhijrah ke kelab Utara tanah air. — Facebook/Kuchingcityfc
Dikenali dengan penyudah tajam dan kekuatan fizikalnya, kehadiran Kipre ke Penang FC dilihat sebagai satu langkah strategik bagi memperkukuh jentera serangan skuad Harimau Kumbang.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki di peringkat tertinggi liga tempatan, Kipre dijangka memainkan peranan penting dalam usaha Penang untuk memberikan saingan lebih sengit musim depan.
Perpindahan itu turut dikuatkan dengan maklumat dari Transfermarkt yang menyatakan kontrak Kipre bersama Kuching City akan tamat pada 31 Mei ini.
Jika perpindahan tersebut menjadi kenyataan, Penang FC bukan sahaja memperoleh seorang penyerang yang terbukti berkesan, malah seorang pemimpin berpengalaman yang mampu menjadi contoh kepada barisan pemain muda dalam pasukan.
Untuk rekod, bersama Kuching City, Kipre mencetak lima gol dan membuat tujuh bantuan hantaran selepas 25 perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram