Pernah alami momen sukar bersama Tok Gajah, legenda KL kini bersama FAM


  • Podium
  • Khamis, 29 Mei 2025

Tempoh dihabiskan Razip (tengah) bersama skuad Tok Gajah hanya sementara kerana dia gagal membawa perubahan positif.

KETIKA ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang sibuk menyediakan kelas bagi mana-mana individu yang berminat untuk mendapatkan lesen kejurulatihan untuk mengendalikan mana-mana pasukan di dalam mahupun di luar negara.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook, badan induk bola sepak negara itu sedang menganjurkan Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC/FAM pada Isnin lalu dengan bekas pemain seperti Alto Linus dan Shahrom Kalam turut mengambilnya.

Hal tersebut menunjukkan organisasi tersebut bersedia melahirkan lebih ramai jurulatih berkualiti dengan ia akan memberi ruang buat kelab Liga Super untuk mendapatkan pengendali tanpa perlu berbelanja besar.

BACA LAGI: Kerana Harimau Muda dan FAM, Kim Swee sepatutnya sertai Sabah lebih awal

BACA LAGI: Tok Gajah pernah 'terjerat' tunggakan insurans cecah RM300,000

Kursus kejurulatihan anjuran FAM disertai 14 peserta, termasuk beberapa bekas pemain tempatan. Facebook/FAM

Ini kerana setiap peserta yang bakal menerima lesen tersebut sudah tentu mempunyai kemahiran mencukupi setelah menerima tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman dalam arena bola sepak tempatan.

Antara yang terlibat dalam mencurahkan pengalaman itu ialah bekas pengendali Pahang dan Harimau Muda A, Razif Ismail yang kelihatan beramah mesra dengan Presiden FAM, Datuk Joehari Mohd Ayub baru-baru ini.

Kelibat figura ternama itu dikesan sebuah laman penyokong bola sepak Pahang, Tok Gajah Forever yang sudah tentu teruja melihat bekas pengendali pasukan Pantai Timur berkenaan selepas bertahun-tahun sepi dari arus media tempatan.

"Kelihatan jurulatih legenda Pahang satu ketika dahulu, Razip Ismail yang sekarang bertugas sebagai Ketua Unit Belia FAM. Gambar diambil ketika Presiden FAM memberikan kata-kata motivasi sempena Kursus Kejurulatihan Profesional Diploma AFC/FAM Modul I & II di Hotel Armada, Petaling Jaya," tulisnya.

Sebelum terjun ke dalam dunia kejurulatihan, anak jati Selangor tersebut terlebih dahulu mencipta reputasi sebagai antara pemain pertahanan terbaik negara untuk skuad kebangsaan dan Kuala Lumpur (KL) FA pada era 1980-an.

Razip Ismail (kanan) bersama Joehari Mohd Ayub di sebuah hotel sekitar Petaling Jaya. Facebook/FAM

Di samping pernah mencatat hatrik kejuaraan Piala Malaysia bersama kelab Lembah Klang itu, kenangan dicipta bersama Harimau Malaya turut membanggakan kerana pernah meraih pingat emas dalam Sukan SEA 1989.

Dalam dunia kejurulatihan pula, Razip terlebih dahulu menimba pengelaman apabila mengendalikan KLFA pada 2008 sebelum menyertai Harimau Muda B yang bersaing dalam Liga Perdana empat tahun kemudian.

Bagaimanapun, cabaran terbesar pernah dihadapi dalam bidang berkenaan sudah tentu ketika dia dilantik pengendali Pahang FC pada pertengahan musim 2016 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Shaharuddin Rosdi.

Landskap berbeza dalam Liga Super kemudian menyaksikan khidmat Razip tidak disambung untuk kempen seterusnya selepas skuad Tok Gajah menamatkan kempen Liga Super di tangga kesembilan. 

Selepas berkhidmat sebagai pengendali untuk beberapa kelab lain, dia yang kini berusia 63 tahun itu akhirnya menyertai barisan pengurusan FAM pada 2020 sebagai Ketua Unit Belia dan kekal di sana sehingga hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram