
SELEPAS lima minggu perlawanan berlangsung, saingan Piala Belia menyaksikan Selangor FC selesa di tangga teratas dengan kelebihan tiga mata dimiliki berbanding pencabar terdekat, Johor Darul Ta'zim (JDT) IV.
Bagaimanapun, pasukan Selatan tanah air itu berpeluang memintas ke kedudukan teratas sekiranya meraih tiga mata penuh dalam perlawanan akan datang memandangkan mereka kini kurang beraksi berbanding skuad Gergasi Merah.
Namun, apa yang menarik mengenai pertembungan akan datang buat JDT IV adalah kerana aksi akan datang menyaksikan mereka akan berdepan pasukan 'adik' iaitu JDT V pada Selasa.
BACA LAGI: Perak rancang kebangkitan, guna skuad SUKMA sertai Liga A1
BACA LAGI: Hebatnya anak jati Perak, kini bergelar jurulatih Prima United FC
Aksi Piala Belia 2025 pada Sabtu menyaksikan pertembungan dua skuad JDT. — Facebook/FAM
Berdasarkan perkembangan dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), perlawanan itu bakal berlangsung di Stadium Taman Ungku Tun Aminah, Johor dengan kedua-dua pasukan memerlukan tiga mata penuh.
Bagi JDT IV, kemenangan tersebut akan menyaksikan mereka memintas Selangor FC untuk berada di kedudukan teratas carta Piala Belia dengan pasukan bimbingan Shariman Che Omar itu sudah tentu mahu berbuat demikian.
Tetapi, JDT V yang baru beraksi sebanyak dua kali setakat ini turut bercita-cita besar untuk meraih mata penuh dari perlawanan terbabit kerana ia akan menyuntik semangat buat pemain bagi perlawanan akan datang.
Kehangatan menjelang pertembungan itu sudah tentu menjanjikan persembahan terbaik daripada kedua-dua pasukan dengan penyokong tidak mahu terlepas untuk mengetahui keputusan daripada aksi terbabit.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan tersebut, ramai turut sempat mengusik perlawanan berkenaan kerana pertembungan dua skuad daripada kelab yang sama jarang berlaku dalam arena bola sepak tempatan.
AMD turut menghantar dua pasukan bagi saingan Piala Belia musim ini. — Facebook/FAM
Hal itu menyaksikan ruangan komen di laman Facebook FAM menyatakan salah sebuah pasukan akan pulang dengan tangan kosong, namun masing-masing tidak akan terlalu kecewa atas sebarang keputusan.
Tetapi, pertembungan dua skuad daripada pasukan sama akan turut berlaku kerana Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut menghantar pasukan berbeza, iaitu AMD Future dan AMD B-16 (Bawah 16 Tahun).
Pertemuan antara kedua-dua pasukan itu akan berlangsung pada 4 Jun depan di Padang AMD 10 Gambang, Pahang dengan ia juga akan mencuri perhatian peminat bola sepak yang ingin menyaksikan kemampuan akademi tersebut mengasah bakat tempatan.
Namun, bagi sesetengah penyokong, mereka beranggapan senario berkenaan menceritakan tahap liga dalam arena bola sepak tempatan yang tidak menyediakan pertandingan secukupnya buat pasukan dalam setiap lapisan umur.
Jika tiada sebarang langkah penyelesaian diambil, tidak mustahil sekiranya JDT akan turut menghantar pasukan dalam Liga Super, lebih-lebih lagi sekiranya terlalu banyak pasukan menarik diri.
Berdasarkan senarai dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setakat ini, hanya 14 pasukan bakal bertanding, termasuk satu kelab jemputan iaitu Brunei DPMM FC yang mungkin beraksi semusim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram