Peter Cklamovski wajar turunkan 'ubi' TFC-Selangor walaupun Cape Verde dianggap lawan 'tricky'


  • Podium
  • Rabu, 28 Mei 2025

Penglibatan pemain muda seperti Haqimi Azim (paling kiri), Harith Haiqal (dua dari kanan) dan Zikri Khalili (paling kanan) diharapkan ketika Malaysia berdepan Cape Verde.

MALAYSIA akan turun berdepan wakil Afrika, Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa tier 1 pada Khamis di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Buat pertama kalinya bertemu, ia pasti menjadi satu pertemuan yang menarik ditambah Cape Verde merupakan negara di kedudukan 100 terbaik dunia.

Di sebalik keterujaan itu, tetap terselit misteri mengenai Cape Verde dan bagaimana ancaman yang bakal diberikan mereka terhadap Harimau Malaya.

BACA LAGI: Bintang Selangor jadi 'ejen', bocorkan rahsia Harimau Malaya kepada jurulatih Cape Verde

BACA LAGI: Lepas Ibrahim Manusi, Kpah Sherman dijangka tinggalkan Sri Pahang bawa diri ke Indonesia

Ubaidullah antara pemain muda yang wajar diberikan peluang beraksi bertemu Cape Verde. — Malaysia NT

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Hanif Miswan, aksi bertemu Cape Verde dianggap sebagai tricky fixture kerana kurangnya maklumat mengenai para pemain lawan.

Sedikit kelebihan yang dimiliki cumalah mengenai info salah seorang pemain iaitu bintang Selangor FC, Alvin Fortes.

"Saya rasa ia akan jadi satu perlawanan yang sangat tricky, sebab kita tak tahu banyak pasal Cape Verde, kita cuma tahu mengenai Alvin Fortes yang dianggap sudah senior dalam skuad.

"Kita masih kabur dengan kebolehan pemain mereka yang lebih muda dan sedang meningkat naik dalam skuad. Ia akan menjadi perlawanan yang mencabar.

"Namun begitu, ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat bagus untuk Malaysia yang sedang dalam proses pembinaan semula dengan kehadiran barisan kejurulatihan dan pemain naturalisasi baharu. Jadi, ia adalah satu pertemuan yang baik untuk kita," kata Hanif kepada Majoriti.

Untuk aksi bertemu Cape Verde dan Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027, jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memanggil 38 pemain dengan mereka akan tiba dalam tiga fasa.

Namun begitu, apa yang menjadi perhatian adalah bilangan pemain muda yang ramai dipanggil Cklamovski dengan jurulatih itu dilihat bersedia melakukan proses transisi dalam skuad kebangsaan.

Bagi Hanif, dia ingin melihat pemain-pemain muda yang mempunyai pengalaman luas dalam Liga Super seperti Ubaidullah Shamsul dan Zikri Khalili dapat diturunkan bertemu Cape Verde.

"Di sebalik keriuhan ketibaan pemain warisan baharu, saya lebih tertarik untuk melihat sama ada jurulatih berani atau tidak menurunkan pemain-pemain muda yang dipanggilnya. Saya nak tengok pemain seperti Ubaidullah atau Zikri, berjaya tak dapatkan tempat dalam perlawanan persahabatan ini.

"Bagi saya, sudah tiba masa untuk ada lapisan pemain yang menggantikan pemain sedia ada dan aksi sebegini boleh memberikan mereka pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Walaupun ia cuma aksi persahabatan, ia boleh menjadi penentu sama ada mereka sudah bersedia atau kita masih perlu harapkan pemain sedia ada untuk membawa nama negara," jelas Hanif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram