Bintang Selangor jadi 'ejen', bocorkan rahsia Harimau Malaya kepada jurulatih Cape Verde


  • Podium
  • Rabu, 28 Mei 2025

Fortes dipanggil oleh skuad Cape Verde untuk perlawanan bertemu Malaysia.

PERTEMUAN antara Malaysia dengan Cape Verde mungkin pertama kali dilakukan melibatkan kedua-dua negara.

Namun begitu, ia seolah-olah negara Afrika itu mempunyai kelebihan walaupun sebelum wisel permulaan ditiupkan pengadil.

Ia bukan kerana faktor ranking mereka yang lebih baik berbanding Harimau Malaya tetapi disebabkan mereka ada 'ejen' yang membocorkan rahsia Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Pilihan bijak misi Asia, Alvin Fortes-Noor Al-Rawabdeh kekal tonggak import Gergasi Merah

BACA LAGI: Ledak 5 gol penting, Alvin Fortes diangkat pemain terbaik Liga Super Januari, Disember

Pedro Brito (dua dari kiri) menanggap maklumat dari Alvin Fortes mengenai bola sepak Malaysia penting bagi Cape Verde. — Malaysia NT

Memetik laporan Stadium Astro, jurulatih Cape Verde, Pedro Brito mengatakan yang pemain Selangor FC, Alvin Fortes memainkan peranannya dalam menyampaikan maklumat mengenai Harimau Malaya kepadanya.

Bercakap pada sidang media pra-perlawanan persahabatan Tier 1 pada Rabu, Brito menjelaskan yang dia gembira melihat ada pemain Cape Verde beraksi di Liga Super.

"Sangat baik ada pemain Cape Verde yang beraksi di Malaysia. Ia akan memberikan kami maklumat mengenai bola sepak Malaysia. Bagi kami, ia penting untuk mempersiapkan pasukan kerana ini merupakan perlawanan ujian yang penting buat kami.

"Ia sangat penting untuk mendapat cabaran berbeza, akan menambah pengalaman. Dalam aksi seperti ini tidak mengira ranking, tetapi penting untuk menang kerana makin banyak perlawanan makin menambah pengalaman kami," jelas Brito.

Musim ini, Fortes nyata menjadi kegemaran penyokong Selangor apabila dia menghasilkan 10 gol dalam saingan Liga Super.

Memandangkan ia adalah pertemuan pertama buat kedua-dua negara, Brito menganggap ia adalah satu cabaran berbeza buat mereka walaupun berada lebih atas dari segi ranking berbanding Malaysia.

Baginya, ia akan menjadi satu pengalaman berharga buat mereka dan juga Harimau Malaya.

"Saya berasa teruja menjelang aksi berdepan Malaysia, ia bakal menjadi aksi yang bagus bagi persiapan kami dan juga persiapan Malaysia juga.

"Kami tahu Malaysia menang dalam aksi terakhir, ia kali pertama kali kami berdepan Malaysia dengan cabaran berbeza. Kita lihat bagaimana pemain akan beraksi esok (Khamis)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram