
PERJALANAN Terengganu FC dalam kempen Piala Shopee musim ini boleh dianggap sebagai satu kekecewaan kerana kelab Pantai Timur itu gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Ini kerana daripada lima perlawanan dalam Kumpulan B, skuad Sang Penyu hanya merekodkan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri yang meletakkan mereka di tangga keempat.
Ia menunjukkan skuad Sang Penyu tidak memiliki mutu dan kualiti diperlukan untuk berentap dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara dengan masalah tersebut diakui peminat mereka sendiri.
BACA LAGI: Jika gagal kekalkan Safawi, Sang Penyu ada pilihan dari TFC II, Perak dan Pahang
BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC
Safawi (kanan) menjadi watak utama skuad Sang Penyu dalam Piala Shopee.
Bagaimanapun, di sebalik isu tersebut, peminat masih boleh tersenyum kerana tonggak pasukan, Safawi Rasid berada dalam kesebelasan utama terbaik bagi saingan Piala Shopee.
Berdasarkan perkongsian di laman Instagram Asean United FC, pemain kebangsaan itu diletakkan dalam jentera serangan di samping penyerang sayap CAHN FC, Le Van Do dan tonggak PSM FC, Nermin Heljeta.
Kesebelasan utama terbaik itu didominasi pemain Buriram United FC iaitu Lucas Crispim, Theerathon Bunmathan, Chatchai Bootphom dan Curtis Good selepas kelab itu menjuarai pertandingan tersebut.
Ini merupakan sebuah lagi kejayaan dalam karier Safawi yang pada awalnya menyertai skuad Sang Penyu demi mendapatkan minit permainan dari Johor Darul Ta'zim (JDT).
Safawi berada dalam kesebelasan utama terbaik untuk Piala Shopee. — Instagram/ASEAN United
Untuk rekod, pemain berusia 28 tahun itu mencatatkan lima gol daripada lima perlawanan dalam Piala Shopee dengan sumbangan itu bagaimanapun belum cukup untuk membantu pasukannya.
Di peringkat domestik pula, catatan memberangsangkan Safawi juga belum cukup untuk meletakkan Terengganu FC ke tahap lebih baik meskipun 13 gol dan dua bantuan jaringan disumbangkan dalam semua kejohanan.
Namun, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak mampu mengulangi rekod baik tersebut di Pantai Timur kerana laporan mengatakan hasratnya meyambung tempoh pinjaman di sana tidak kesampaian.
Khabar angin turut mengatakan terdapat kemungkinan Safawi akan menyertai Negeri Sembilan FC secara pinjaman, namun kata putus hanya boleh diberi JDT pada jendela perpindahan kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram