Jika gagal kekalkan Safawi, Sang Penyu ada pilihan dari TFC II, Perak dan Pahang


  • Podium
  • Isnin, 12 Mei 2025

Safawi mencurahkan sumbangan besar buat skuad Sang Penyu sepanjang semusim dipinjamkan.

SELEPAS hanya menamatkan kempen Liga Super 2024/25 di tangga kelima, Terengganu FC sudah tentu mahu bercita-cita besar untuk memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini.

Ini termasuk mengekalkan tonggak utama sepanjang musim lalu, terutamanya Safawi Rasid yang hanya tiba sebagai pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penyerang sayap itu sememangnya watak penting buat skuad Sang Penyu dengan 13 jaringan dan dua bantuan gol direkodkan di samping meraih kepercayaan untuk memikul peranan kapten.

BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC

BACA LAGI: Terengganu mahu terus ikat Safawi namun berdepan halangan JDT

Safawi dilaporkan akan kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan bagi musim depan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan pemain kebangsaan itu tidak aakn dapat dipinjamkan ke Terengganu FC kerana khidmatnya mahu dikekalkan JDT atau mahu dipindahkan ke Negeri Sembilan FC buat semusim.

Kehilangan pemain dengan profil Safawi sudah tentu memberi kerunsingan buat skuad Sang Penyu yang perlu segera mencari alternatif dengan kebolehan seperti penyerang sayap terbabit.

Berdasarkan penilaian Majoriti, pasukan Pantai Timur itu memiliki tiga pilihan, sama ada daripada dari kelab-kelab Liga Super mahupun skuad muda pasukan Pantai Timur tersebut sendiri.

1. Muslihuddin Atiq

Nama Muslihuddin Atiq tidak lagi asing buat penyokong Terengganu FC kerana sejak diletakkan dalam skuad muda pasukan, dia sudah mempamerkan potensi cukup baik untuk diserap ke dalam skuad utama.

Bagaimanapun, dengan lambakan bintang dalam pasukan senior, pemain berusia 22 tahun itu tidak diserap meskipun pernah beraksi dalam Liga Super 2023 sebanyak tiga kali.

Situasi itu boleh berubah pada kempen akan datang sekiranya kelab bimbingan Badrul Afzan Razali tersebut gagal mendapatkan khidmat Safawi kerana profil permainan kedua-duanya agak sama.

Muslihuddin Atiq sudah bersedia untuk dibawa ke dalam pasukan utama. Facebook/Terengganu FC

Ini kerana berdasarkan catatan dalam kempen Piala MFL 2024/25, dia merekodkan sembilan gol dalam 19 penampilan dengan sumbangan itu menyaksikan Terengganu FC II berada di tangga ketiga.

Muslihuddin yang merupakan penyerang sayap kiri boleh diolah untuk beraksi sebaagi pemain tengah menyerang seperti mana kerap dilakukan Badrul Afzan ke atas kaptennya pada kempen sebelum ini.

Usianya yang masih muda membolehkan perkara berkenaan dilakukan, namun pengendali itu perlu memastikan anak buahnya tersebut dapat memahami peranan baharu itu.

2. Wan Zack Haikal

Ketika ini, masa depan Perak FC masih belum diputuskan selepas pihak pengurusan dilaporkan tidak berminat menanggung kos operasi yang menelan jutaan ringgit saban musim.

Jadi, sekiranya kelab tersebut 'terkubur', pemain berkualiti dalam pasukan boleh disambar, termasuk Terengganu FC yang memiliki sumber kewangan kukuh memasuki tahun baharu.

Wan Zack masih boleh beraksi di tahap terbaik musim depan. Facebook/Perak FC

Antara nama-nama yang boleh disasarkan skuad Sang Penyu ialah kapten pasukan, Wan Zack Haikal Wan Noor yang beraksi cemerlang meskipun sudah berusia 34 tahun.

Gaya permainannya yang seakan-akan Safawi merupakan satu pilihan terbaik kerana selain boleh mencipta peluang, bekas tonggak Harimau Malaya itu boleh menyudahkannya.

Bagaimanapun, usianya akan menyukarkan perpindahan tersebut kerana Badrul Afzan sudah tentu mahu mengerah kudrat lebih muda dalam usaha mengejar slot ke Asia selepas ini.

3. Sergio Aguero

Selain Perak FC, sebuah lagi pasukan yang belum mengesahkan status musim depan ialah Sri Pahang FC dengan ramai mengatakan aksi berdepan JDT di pentas final Piala Malaysia 2024/25 merupakan aksi terakhir kompetitif mereka.

Jika hal itu direalisasikan, tidak hairan sekiranya mana-mana pemain utama disambar kelab lain, terutamanya Sergio Aguero yang menjadi tonggak utama sejak 2021.

Aguero sudah pasti bersedia untuk menyertai skuad Sang Penyu. — Facebook/Sri Pahang FC

Pemain naturalisasi negara tersebut sudah tentu menjadi rebutan, namun perlu diburu Terengganu FC kerana memiliki kebolehan dan keupayaan seperti Safawi.

Meskipun tidak pernah diturunkan di posisi sayap, Aguero masih boleh memberi bantuan kepada rakan sepasukan menggunakan hantaran berbisa dan larian mengelirukan.

Perubahan boleh dilakukan barisan kejurulatihan Terengganu FC atau memberi kepercayaan penuh untuknya berada di posisi tengah menyerang kerana kualiti dimiliki pemain kelahiran Argentina itu tidak boleh dipertikaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram