Nama pernah dipetik ke selatan, 3 kali JDT nafi ‘kejar’ pemain berbakat termasuk Rizal Ghazali, kapten Sabah


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Meskipun ada pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang di saingan Liga M, itu belum tentu menjamin tempat di JDT. — Facebook/JST

SEIRING berakhirnya musim 2024/25, banyak kelab Liga Malaysia (Liga M) kini giat merekrut pemain baharu dalam usaha memperkukuh skuad masing-masing menjelang musim baru.

Antara kelab yang dilaporkan sedang membuat perancangan rapi untuk membawa masuk bakat-bakat baharu termasuklah Melaka FC dan Penang FC.

Walaupun berstatus kelab kecil, mereka tetap menjadi pilihan ramai pemain yang mahu mendapatkan minit permainan dan mengembangkan karier secara konsisten.

Namun begitu, jika tawaran datang daripada kelab gergasi tanah air seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah tentu ia menjadi rebutan ramai. Menyertai skuad Harimau Selatan sememangnya menjadi impian hampir setiap pemain bola sepak di Malaysia.

BACA LAGI: Lepas sambar Fairuz Zakaria, bekas bek Penang, Kelantan kini dalam radar DPMM

BACA LAGI: Hebatnya anak jati Perak, kini bergelar jurulatih Prima United FC

Namun hakikatnya bukan mudah untuk diserap masuk ke dalam pasukan elit yang diterajui oleh pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Meskipun ada pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang di saingan Liga M, itu belum tentu menjamin tempat di JDT.

Apa yang menarik, terdapat beberapa pemain ternama tanah air yang pernah dikaitkan dengan JDT, namun akhirnya tidak diterima menyertai kelab tersebut meskipun khabar angin mengenai perpindahan mereka pernah hangat diperkatakan di media sosial.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain tempatan yang pernah dinafikan kemasukan ke skuad Harimau Selatan, walaupun ramai beranggapan mereka hampir pasti menyertai kelab itu.

1. Rizal Ghazali

Sudah hampir sembilan tahun berlalu, masihkah anda ingat bahawa juara bertahan Liga Super, JDT pernah menafikan minat terhadap pertahanan kanan Kedah Darul Aman FC, Rizal Ghazali ketika namanya sedang melonjak naik?.

Pada musim 2016, JDT menerusi satu kenyataan rasmi di laman Facebook mereka, JOHOR Southern Tigers, menolak khabar angin bahawa pasukan itu berminat mendapatkan khidmat Rizal untuk saingan Liga M musim berikutnya.

Ketika itu, Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez, mengakui Rizal adalah pemain yang berbakat dan berprestasi tinggi, namun menegaskan bahawa dia tidak termasuk dalam perancangan pasukan, memandangkan skuad Harimau Selatan sudah memiliki barisan pertahanan yang mantap seperti S. Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq.

Pertahanan kanan Sang Kenari, Rizal Ghazali.Facebook/KDAFC

Rizal Ghazali pada ketika itu menjadi perhatian selepas beraksi cemerlang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 apabila dia menjaringkan gol pembukaan dan turut menyempurnakan sepakan penalti sekali gus membantu Kedah menewaskan Selangor dan menjulang trofi berprestij tersebut.

Malah, susulan prestasi luar biasanya itu, Rizal turut dilaporkan mempunyai nilai perpindahan mencecah RM5 juta, menjadikannya antara prospek paling hangat di pasaran tempatan waktu itu.

Kisah itu menjadi bukti bahawa prestasi cemerlang sahaja belum tentu menjamin tempat di JDT, sebuah pasukan yang terkenal dengan standard dan struktur perancangan skuad yang amat ketat dan teliti.

2. Rawilson Batuil

Selepas kisah pemain kelahiran Kedah, Rizal Ghazali, kini giliran anak jati Sabah, Rawilson Batuil yang pernah menjadi sebutan hangat apabila dikaitkan dengan perpindahan ke JDT.

Bagi peminat bola sepak tempatan, nama Rawilson tidak asing lagi. Beliau dikenali sebagai pertahanan utama Sabah FC yang sering mempamerkan ketenangan di benteng pertahanan.

Spekulasi mula tercetus pada penghujung 2018 apabila Rawilson dilaporkan bakal menyertai JDT dengan tawaran gaji lumayan sehingga RM65,000 sebulan.

Bek kental Sang Badak, Rawilson Batuil. Facebook/Sabahfc

Berita itu pantas menarik perhatian peminat dan media, yang menjangkakan perpindahan tersebut sebagai langkah besar dalam karier pemain itu.

Namun begitu, JDT tampil menafikan dakwaan tersebut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, menjelaskan bahawa pihak kelab tidak membuat sebarang tawaran rasmi kepada mana-mana pemain pertahanan termasuk Rawilson.

Menurut Alistair, JDT ketika itu sudah pun memiliki barisan pertahanan muda yang mencukupi, antaranya Dominic Tan dan Adam Nor Azlin, justeru mereka tidak melihat keperluan untuk menambah pemain di posisi tersebut.

3. Muslihuddin Atiq

Siapa sangka, nama pemain muda berbakat dari Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid tiba-tiba menjadi tumpuan selepas dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi, JDT

Spekulasi mengenai kemungkinan pemain berusia 21 tahun itu menyertai JDT mula hangat diperkatakan di media sosial sejak September 2022. Namun, segala persoalan terjawab apabila pihak JDT tampil menafikan dakwaan tersebut secara rasmi.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa tiada tawaran pernah dibuat kepada Muslihuddin Atiq oleh mana-mana individu dalam struktur kejurulatihan atau pengurusan kelab itu.

'Ubi muda' Sang Penyu, Muslihuddin Atiq. Instagram/musli_tiq

Menurutnya, mereka turut terkejut apabila mendengar berita kononnya JDT telah membuat tawaran kepada Atiq dan tidak pasti dari mana datangnya maklumat itu.

Jelas Alistair ketika itu, JDT sedang meneliti beberapa pilihan pemain import untuk memperkuatkan skuad menghadapi musim baharu. Dalam masa sama, mereka juga sedang mempertimbangkan untuk menandatangani seorang pemain tempatan, namun pemain itu bukan Muslihuddin Atiq.

Penafian itu sekali gus menamatkan spekulasi perpindahan pemain muda Terengganu itu ke Selatan tanah air dan membuktikan JDT kekal berpegang kepada proses pemilihan pemain yang tersusun dan teliti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram