
SEHINGGA hari ini, nama Azlan Mubin yang merupakan bekas pemain sepak takraw negara masih mekar dalam peminat sukan itu kerana dia berkhidmat sebagai pengacara dalam salah sebuah stesen televisyen tempatan.
Dia yang memulakan karier dalam bidang berkenaan seawal usia 18 tahun pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa, termasuk semasa saingan Sukan Asia 2006 dan dua edisi Sukan SEA.
Kebolehannya sebagai tekong dalam acara regu sememangnya diakui, namun tempohnya beraksi secara profesional tidak berpanjangan apabila kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada usia 24 tahun meranapkan kariernya.
BACA LAGI: Azlan Alias retak tulang siku, Melaka Titans jumpa perejam dari Thailand sebagai pengganti
Azlan Mubin yang memulakan karier seawal usia 18 tahun pernah disegani satu ketika dahulu.
Ini kerana kecederaan serius kira-kira 18 tahun lalu itu menyaksikan ikon sepak takraw negara berkenaan mengundur diri dari gelanggang sebelum dia memilih untuk mencuba bidang lain.
Bagaimanapun, legasi Azlan Mubin dalam sukan tersebut tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, anaknya, Aqil Iskandar Azlan difahamkan sudah memulakan karier dalam dunia sepak takraw seawal usia 14 tahun.
Dia yang kini bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) baru-baru ini turun beraksi ketika sekolahnya itu berdepan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dalam Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan.
Lebih membanggakan lagi, Aqil Iskandar yang mengenakan jersi nombor dua dapat menghadiahkan mata buat pasukannya dengan gaya bersahaja meskipun ketinggiannya belum cukup memuaskan.
Kehadirannya menyaksikan SSMT muncul juara dalam Kategori Bawah 15 Tahun (B-15) bagi kejohanan berkenaan dengan Azlan sudah tentu mahu mengabadikan momen amat berharga itu.
Penglibatan awal dilakukan anak kepada legenda sepak takraw negara itu sudah tentu diraikan penyokong yang mahu melihat lebih ramai pelapis pada masa akan datang dalam usaha Malaysia mencengkam erat sukan terbabit.
Melihat kepada skuad Piala Asia Astaf baru-baru ini, pasukan kebangsaan tidak berdepan sebarang masalah kerana rata-rata tonggak masih berada dalam lingkungan usia 20-an.
Bagaimanapun, pelapis dan bakat-bakat baharu masih perlu digilap, lebih-lebih lagi sekiranya skuad negara bercita-cita besar menundukkan seteru utama, Thailand dalam kejohanan peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram