
PENDATANG baharu Liga Super, Brunei DPMM FC tampak cukup bersedia untuk memberi saingan musim depan kerana sudah membawa masuk wajah-wajah baharu lebih awal sebelum pembukaan jendela perpindahan.
Setakat ini, kelab berkenaan dilaporkan sudah mendapatkan khidmat dua pemain pertahanan iaitu Fairuz Zakaria dari Penang FC serta bek sayap Sri Pahang FC, Azwan Aripin.
Kemasukan kedua-dua rekrut baharu itu menceritakan kelab berkenaan mahu memberi tentangan dengan peminat bola sepak tempatan pasti teruja dengan hasrat berkenaan.
BACA LAGI: DPMM FC makin bernafsu besar, intai peluang sambar bek kiri Tok Gajah
BACA LAGI: Lepas sambar Fairuz Zakaria, bekas bek Penang, Kelantan kini dalam radar DPMM
Brunei DPMM FC sudah tentu bersedia memperkuatkan barisan serangan.
Bagaimanapun, kisah berbeza pula diceritakan pasukan di tangga kelima Liga Perdana Singapura 2024/25 tersebut dari segi serangan kerana mereka belum memperkuatkan aspek berkenaan secukupnya.
Ini kerana skuad kendalian Jamie McAllister itu hanya membawa masuk seorang pemain baharu di posisi tersebut iaitu Ramadhan Sananta dari kelab Indonesia, Persis Solo setakat ini.
Meskipun penyerang berkenaan memiliki potensi cukup cerah, ia belum cukup untuk menembusi benteng kelab Liga Super memandangkan Brunei DPMM FC hanya merekodkan 54 gol daripada 32 perlawanan Liga Singapura.
Jadi, sekiranya kelab jemputan musim depan itu mahu memperkuatkan jentera serangan mereka, terdapat tiga pilihan dimiliki dengan masing-masing tentu terbuka dengan perpindahan berkenaan.
1. Syafiq Ahmad
Reputasi Syafiq Ahmad dalam rantau Asia Tenggara tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia sudah bermusim-musim bersinar buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Tidak cukup dengan itu, anak jati Pulau Pinang itu turut dikenali sebagai antara penyerang terbaik Harimau Malaya dengan kelincahan dan mutu penyudahnya sukar diperlekehkan.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, pemain berusia 29 tahun itu sukar menonjolkan diri berikutan isu kecederaan yang menyaksikan minit permainan bersama skuad Sang Kenari musim lalu semakin terhad.
Syafiq Ahmad kurang memberi impak akibat kecederaan dialami musim lalu. — Facebook/KDA FC
Masalah dialaminya disulitkan lagi dengan kemelut luar padang yang membelenggu KDA FC musim lalu apabila Syafiq serta rakan sepasukannya kelihatan kurang bersemangat untuk memberi persembahan terbaik.
Prestasi kurang memberangsangkan itu menimbulkan kemungkinan penyerang Harimau Malaya berkenaan akan sekali lagi dipinjamkan dengan orang ramai berasakan Terengganu FC sebagai destinasi baharunya.
Namun, sekiranya Brueni DPMM FC berminat akan khidmatnya, mereka boleh menawarkan kontrak berbaloi dengan Syafiq sudah tentu terbuka untuk berkelana pada jendela perpindahan kali ini.
2. Nurshamil Abd Ghani
Kira-kira dua musim lalu, Nurshamil Abd Ghani pernah mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan apabila merangkul Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 ketika bersama Kelantan FC.
Bagaimanapun, selepas membantu pasukannya itu melangkah ke divisyen teratas, bakat penyerang itu tiba-tiba bertukar sunyi apabila dia gagal menampilkan potensi sebenar.
Perpindahan ke Kuching City FC pada pertengahan musim juga tidak membantu kerana anak jati Melaka tersebut gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
Nurshamil (kiri) hanya beraksi dalam liga amatur buat Putrajaya Athletics FC musim lalu. — Facebook/PT Athletics FC
Harapannya untuk mengubah nasib dialami dengan menyertai kelab amatur, Putrajaya Athletics FC bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2024/25 juga tidak membuahkan hasil dengan namanya kini mula dilupakan peminat.
Sekiranya Nurshamil mahu mengubah keadaan itu, dia boleh memilih untuk mencabar diri dengan menyertai Brunei DPMM FC dengan pengalamannya akan mencuri perhatian kelab berkenaan.
Tetapi, dia yang mula dilupakan peminat dan kelab-kelab Liga Super sudah tentu sukar untuk mencuri perhatian kelab jemputan itu yang tidak mahu membuat pelaburan yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
3. Fergus Tierney
Meskipun baru berusia 22 tahun, Fergus Tierney sudah cukup berani untuk mencuba nasib untuk menerima pendedahan di luar negara selepas beraksi buat dua kelab Thailand, Chonburi FC dan Nakhon Pathum United FC.
Pendedahan diterima sepanjang dipinjamkan itu adalah cukup baik kerana dia enggan menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan di JDT dengan keputusan tersebut membuahkan hasil.
Pengalaman di Thailand sudah tentu berharga buat Fergus Tierney (kiri). — Facebook/Chonburi FC
Meskipun rekod jaringannya tidaklah begitu mengagumkan, ia sedikit sebanyak menceritakan kesanggupannya untuk beraksi di luar negara yang bukanlah satu langkah mudah.
Sekiranya Fergus mahu meneruskan langkah sedemikian, Brunei DPMM FC boleh menjadi langkah terbaik baginya meskipun hanya bermain dalam Liga Super musim depan.
Pendedahan diterima di negara tersebut akan menajamkan lagi bakatnya, sekali gus membuka mata kelab-kelab gergasi sekitar Asia Tenggara untuk menyambar khidmatnya pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram