
BERSUNGGUH-SUNGGUH bunyinya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan pihaknya memenuhi permintaan Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung kebenaran untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) mendaftarkan sehingga 15 pemain import musim depan.
Soalnya siapa yang hendak percayakan MFL?
Sama ada peraturan baru berkenaan atas permintaan JDT atau sebaliknya, keputusan itu tetap menguntungkan Harimau Selatan dalam keadaan Liga Super selama bertahun-tahun ini berlangsung di “padang yang tidak rata”.
BACA LAGI: Selangor beri bayangan tak guna semua tambahan 15 kuota import
BACA LAGI: Tak mahu jadi pasukan belasahan, Kelantan Red Warrior sedia penuhkan kuota pemain import
MFL perlu bersedia dengan kecaman penyokong atas peningkatan kuota import.
Melimpah-ruah dengan dana – dibandingkan dengan kebanyakan pasukan lain yang dihimpit masalah kewangan hingga masalah tunggakan gaji berleluasa musim lalu – keputusan terbaru MFL itu dilihat hanya menurutkan motivasi JDT untuk “luaskan kuasamu” ketika pesaing-pesaing-pesaingnya terus tidak berdaya.
Maka, tidak hairanlah jika media sosial sarat dengan kritikan peminat yang bersangkakan keputusan itu dibuat semata-mata bagi memenuhi kehendak JDT – pasukan yang menjadikan Liga M hanya sebagai batu loncatannya untuk memastikan ia kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) saban tahun.
Dengan satu-satunya slot buat juara liga domestik bersaing di peringkat berkenaan, ia seolah-olah sudah jadi milik mutlaknya tanpa sebarang pasukan lain akan pernah merasa.
Ditambah dengan MFL dilihat menawarkan secukupnya ruang dan peluang untuk manfaat juara liga 11 musim berturut-turut itu dengan menaikkan jumlah had pemain import – ditambah pula dengan beberapa lagi pemain naturalisasi dalam kesebelasannya – JDT harus menyambut pengumuman MFL pada 23 Mei lalu dengan ketawa besar.
Atau barangkali ia satu keputusan yang memang sudah dijangkakannya.
JDT dan Selangor sudah tentu berkemampuan memenuhi kuota 15 pemain import.
Memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021-2025 pada 22 Mei, pendaftaran maksimum 15 pemain import, dengan kuota sembilan pemain di atas padang (termasuk simpanan) terdiri daripada empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN, MFL berkata ia akan meningkatkan daya saing Liga Malaysia.
Kita nak tanya adakah dengan had sembilan pemain import musim lalu daya saing Liga Malaysia meningkat dengan mendadak atau semakin melebar dengan 12 lagi pesaingnya?
Kesudahannya JDT menamatkan musim selaku juara dengan himpunan 70 mata dalam 24 perlawanan – mencicirkan hanya dua mata ketika seri 1-1 dengan PDRM FC di samping berjurang 18 mata dengan Selangor FC di tangga kedua – jauh sekali untuk membayangkan sebarang peningkatan daya saing.
"Perubahan ini memberi kesaksamaan kepada semua kelab dan meningkatkan daya saing Liga Malaysia, terutama apabila jendela perpindahan kini seragam dengan liga utama dunia," kata MFL.
Lawak apakah ini sebenarnya? MFL tidak pun memberi pertimbangan sama adil kepada pasukan-pasukan selebihnya di sebalik tiada kewajipan untuk mereka memenuhi kuota import itu sepenuhnya kerana bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.
Kemeriahan Liga M pasti akan terjejas dengan perubahan terhadap kuota import.
Apakah ia satu rahsia bahawa pasukan-pasukan dalam Liga M tergolong kepada kelas-kelas berbeza – antara kayangan, bangsawan dan marhaen?
Tanpa menanti tarikh tutup pendaftaran pemain dari 9 Jun hingga 31 Ogos akan datang pun, MFL harus sudah tahu jawapannya bahawa tidak banyak pasukan yang mampu memiliki seramai itu pemain import.
Sejumlah maksimum 15 pemain import hanya pada bilangan tapi bukan pada kualiti. Pemain import dengan reputasi besar bermakna akan lebih tinggilah nilai mereka. Ini bermakna pasukan-pasukan berbajet kecil dan sederhana hanya mampu mendapatkan tenaga import yang munkin tidak jauh lebih baik daripada bakat tempatan.
Siapa masih ingat Kelantan Darul Naim (KDN) FC adalah antara yang terawal melengkapkan sembilan kuota importnya ketika pra musim 2024/2025? Gah betul bunyinya KDN FC ketika itu yang bercita-cita besar untuk menjulang kembali nama Kelantan di persada bola sepak tempatan.
Cuma malangnya semakin lama musim berjalan, semakin kurang pemain import yang dapat dikekalkan gara-gara prestasi mengecewakan hingga tiada seorang pun yang tinggal menuju ke suku terakhir musim.
Skuad Kijang Emas bernafsu besar dengan memperkenalkan 15 import. — Facebook/KDN FC
Pengalaman KDN FC itu harus menjadi peringatan dan pengajaran kepada pasukan-pasukan mnjelang musim baharu nanti. Sesungguhnya orang yang tidak ambil pengajaran daripada sejarah akan melakukan kesilapan yang sama secara berulang-ulang.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Hisamudin Yahaya, dalam menafikan kelmarin kononnya MFL tunduk pada JDT, mempertahankan bahawa pelbagai faktor sudah diambil kira dalam memutuskan kuota 15 pemain import itu secara sebulat suara.
Demi manfaat pasukan-pasukan dan peminat bola sepak tempatan, beliau sepatutnya menghuraikan apakah faktor-faktor berkenaan untuk diperhalusi ramai.
"Pertambahan kuota pemain import ini dilihat akan dapat membantu kelab yang akan bersaing di kejohanan ACLE, ACL2 dan Kejohanan Kelab Asia Tenggara memandangkan cabaran semakin hebat.
Hisamudin percaya peningkatan kuota import akan memberi manfaat besar.
"JDT akan beraksi dalam ACLE manakala Selangor FC pula akan berentap alam ACL 2. Kedua-dua pasukan ini juga beraksi dalam Kejohanan Kelab ASEAN selepas AFF melakukan perubahan format,” kata Hisamudin.
Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa demi manfaat kedua-dua pasukan berkenaan, seluruh pasukan selebihnya turut sama menanggung beban. Tanpa menseimbangkan kekuatan dengan pemain import secukupnya – kalau pun tidak sampai 15 – pasukan-pasukan ini akan menjadi mangsa belasahan.
"Bagi memberi keadilan kepada semua pasukan, MFL telah membuat keputusan untuk membenarkan semua pasukan liga mendaftarkan 15 pemain import. Namun, ia terpulang kepada kelab untuk membuat keputusan.
"Sekarang tidak timbul isu MFL mengikut permintaan daripada JDT tentang kelulusan ini kerana ia dibuat secara bersama dan berdasarkan keperluan dan juga kemampuan pasukan," kata Hisamudin lagi.
Ya, betul tu. MFL bukannya tunduk kepada keperluan JDT, cuma ia tidak berkuasa untuk menghalang Harimau Selatan mendapatkan apa yang dimahukannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram