Masih adakah sinar terangi KDA FC bersaing dalam liga musim depan?


Oleh M AZIM
  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Masalah kewangan membelenggu skuad Sang Kenari memberi tamparan hebat mengenai masa depan pasukan.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/26.

TEPAT jam 12 tengah malam ini, sepatutnya Kedah Darul Aman (KDA) FC menyertai Perak FC dan Sri Pahang FC sebagai tiga pasukan terawal terkeluar daripada saingan Liga Malaysia 2025/2026 sama ada atas kerelaan atau keterpaksaan.

Namun, berbeza dengan Perak FC yang sudah membuat pengumuman rasmi menarik diri sambil Sri Pahang FC seakan-akan masih berteka-teki, KDA FC tidak pernah mengubah tekad untuk turut serta bertanding di sebalik apa pun masalah dan rintangan yang mendatang.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi kata dua kepada KDA FC untuk melunaskan tunggakan gaji pemain-pemain sehingga Disember 2024 berjumlah lebih RM7 juta pada atau sebelum 30 April.

BACA LAGI: 'Jangan ulangi silap lama', Kedah wajar berehat semusim dari Liga Super elak kewangan terus tenat

BACA LAGI: Ibrahim Manusi ikut jejak Paulo Josue, bintang Perak serta Kedah, tempa nama di pentas final

Skuad Sang Kenari menamatkan musim 2024/25 di tangga ke-11 Liga Super. Facebook/KDA FC

Atau skuad Hijau Kuning itu perlu ucapkan selamat tinggal kepada saingan liga yang menyaksikan mereka berkesudahan di tangga ke-11 – ketiga tercorot – apabila tewas 0-3 kepada Terengganu FC dalam perlawanan terakhir di Kuala Terengganu, 20 April lalu.

Tiadanya sebarang pengumuman bahawa KDA FC sudah berjaya melunaskan tunggakan berkenaan setakat ini bermakna berakhirlah harapan peminat untuk melihat cabaran skuad Kenari itu dapat dielakkan daripada berkubur. Sayang semuanya sudah terlambat, mungkin begitulah sangkaan mereka.

Berpantang maut sebelum ajal, KDA seakan-akan mendapat hayat baru.

Tiba-tiba MFL semalam mengeluarkan kenyataan bahawa pasukan-pasukan Liga-M, terutama yang berdepan isu tunggakan gaji, diberi ‘talian hayat’ untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Seperti dimaklumkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, dalam satu kenyataan bahawa lanjutan masa bagi melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab dilanjutkan hingga 10 Mei ini.

Menjelaskan keputusan itu susulan permohonan beberapa kelab, Sheikh Mohd Nasir berharap lanjutan masa yang diberikan itu dapat membantu kelab-kelab menyelesaikan segala dokumentasi yang berkenaan pada tarikh yang sudah ditetapkan.

Walaupun tarikh akhirnya dianjakkan 10 hari lagi, sekurang-kurangnya masih ada sedikit masa untuk pengurusan kelab melakukan apa yang mungkin dilihat sebagai satu keajaiban 

Kata orang, tidak ada apa-apa yang berlaku secara kebetulan melainkan ia sudah ditentukan oleh Sang Pencipta – tidak terkecuali dalam kes KDA FC.

Masalah kewangan skuad Sang Kenari sudah berlaku sejak musim lalu. Facebook/KDA FC

Andai masih diingat, KDA juga hampir-hampir tertinggal kapal terbang untuk menyertai saingan musim 2024/2025 tapi ia menjadi kemujuran mereka dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain pada saat-saat terakhir.

Mungkinkah KDA sedang menyusuri laluan penuh berduri seperti itu sekali lagi untuk kesudahannya berkongsi khabar gembira dengan penyokongnya sekali lagi?

Secara kebetulan juga, sekumpulan 10 badan bukan kerajaan (NGO) diwakili gabungan anak-anak Kedah ketika ini berpadu tenaga untuk menyelamatkan KDA FC daripada lenyap daripada peta bola sepak tempatan musim depan.

Pengerusi Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Datuk Romli Ishak, berkata gabungan NGO, bekas pemain, jurulatih serta kelab penyokong kini bergabung dengan objektif penganjuran untuk menyatakan keperihatinan bersama mewakili seluruh rakyat Kedah memperjuangkan nasib dan hala tuju pasukan.

Romli (tengah) berharap masih terdapat masa depan cerah buat skuad Sang Kenari.

Apa rancangan mereka, bagaimanapun, masih tidak jelas. Cuma Romli berkata pihaknya sudah memiliki ‘talian hayat’ bagi menyelamatkan pasukan Kedah, namun belum bersedia mendedahkan keseluruhan pelan yang dianggap satu kejutan yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Saya baru dapat berita baik sebentar tadi daripada (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memaklumkan bahawa Insya-ALLAH, akan ada sinar dan akan cari jalan terbaik bagaimana untuk kita selamatkan pasukan negeri Kedah ini dalam masa terdekat,” katanya dalam Majlis Aidilfitri NGO bersama Penyokong Hijau Kuning dan Bekas Pemain Kedah pada Selasa.

Sebagai petunjuk lanjut daripadanya, mereka ada cara lain bagaimana mahu mengembalikan kegemilangan itu dan tak semestinya melalui KDA FC. Lagilah mengelirukan tapi kita nantikan saja pengumumannya.

Saifuddin – seorang daripada penggerak utama bersama tiga NGO melancarkan Tabung Aidilfitri Pemain Bolasepak Kedah pada 20 Mac lalu — tidak menolak beliau ada satu rancangan besar membantu kelangsungan KDA FC yang bagaimanapun hanya akan diumumkan kemudian.

Saifuddin (tengah) tampil menyalurkan bantuan buat pemain KDA FC sebelum sambutan Aidilfitri lalu. Facebook/Saifuddin Nasution Ismail

Dalam masa kurang lima hari ketika itu, sejumlah RM200,000 dapat dikutip menerusi derma kilat yang ilancarkan dan disampaikan kepada 40 pemain dan jurulatih KDA FC dengan masing-masing menerima RM5,000 agar tidak berasa terpinggir dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Ditemui wartawan yang mengulangi soalan mengenai rancangan besarnya selepas selesai majlis di Hotel Raia, Alor Setar itu, Saifuddin mengesahkan ada perbincangan dengan pemegang saham majoriti KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar, dalam memastikan kelangsungan kelab itu dalam Liga Malaysia.

“Saya tak mahu buat apa-apa kesimpulan lagi kerana perlu tahu kedudukan kita di mana. Daripada segi pemilikan pasukan, kita tahu KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) dan juga Tan Sri Daud telah menubuhkan KDA FC dengan sekian-sekian pegangan saham.

“Saya diasuh dengan nilai-nilai (bila) ada masalah jangan cari alasan, berikan penyelesaian. Masalah tak akan selesai kalau kita hanya menuding jari, mengata kat orang. Untuk Kedah, insya-ALLAH saya ada satu rancangan besar, kita umum nanti,” katanya ketika itu.

Skuad Sang Kenari cukup dikenali sebagai pasukan yang mempunyai sejarah hebat dalam arena bola sepak tempatan.

Kejayaan menghimpun sumbangan RM200,000 dalam tempoh lima hari pada waktu itu harus membanggakan tapi untuk mendapatkan RM7 juta dalam 10 hari berikut ini bukan satu cabaran kecil.

Namun, KDA FC sebelum ini pernah melakukan keajaiban selepas berakhir musim 2023. Siapa tahu mereka mungkin dapat mengulangi keajaiban untuk terselamat sekali lagi.

Moga-moga ada sinar buat Sang Kenari – pasukan dengan tradisi kejayaan dalam Liga Malaysia – yang ketiadaannya pasti akan merencatkan kemeriahan liga musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram