
WALAUPUN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah memperkenalkan kebenaran membolehkan setiap kelab mendaftar sehingga 15 pemain import, Selangor FC belum lagi mahu memenuhkannya.
Walaupun bakal menjadi wakil Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Piala Shopee, Gergasi Merah masih mahu melihat sekiranya ada keperluan untuk menggunakan ramai pemain import.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya menyambut baik cadangan MFL itu tetapi masih akan berbelanja mengikut keperluan.
BACA LAGI: Tak mahu ketinggalan, Selangor sambar Benzema selepas JDT 'ikat' bakat muda Pulau Pinang
BACA LAGI: Selangor sahkan kontrak Safuwan berbaki semusim lagi, gagal sambar bintang Indonesia
Datuk Seri Shahril Mokhtar.
"Kalau kita lihat dari segi jumlah pendaftaran pemain import, seramai 15 pemain dibenarkan dan musim lepas kita dah daftarkan seramai 12 pemain import dan jumlah pemain atas padang pun berubah dari 6+1, sekarang 7+2.
"Untuk Selangor FC, sudah tentu kami mengalu-alukan perubahan ini tetapi tidak semestinya kita nak menggunakan kesemuanya kuota itu sebab kita perlu lihat bajet dan kualiti pemain," kata Shahril menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Dalam masa yang sama, Shahril berkata pertambahan kuota itu akan membantu Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bersaing lebih hebat di kejohanan Asia serta Asia Tenggara.
Dengan skuad lebih besar dan pilihan pemain lebih luas, Ia pasti dapat membantu kedua-dua kelab membanggakan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bagi Shahril, dia menganggap Selangor bakal berdepan musim yang padat namun mereka tidak sabar untuk mengharumkan nama negara.
"Perubahan dan langkah ini adalah baik terutamanya untuk Selangor dan juga JDT sebab dua pasukan ini akan beraksi di ACL dan kelab AFF, jadi ia akan beri kelebihan kepada kita untuk ada pilihan pemain yang lebih banyak.
"Namun kalau tanya saya untuk pasukan lain, sekiranya mampu, boleh untuk daftarkan 15 import, tapi kalau tidak mampu, janganlah. Kami pun masih lagi menilai, mungkin akan sama seperti musim lepas (12 import) atau tidak bergantung kepada keperluan.
"Saya rasa ia akan menjadi musim yang cukup sibuk untuk kelab ini, bukan sahaja untuk liga, tetapi akan ada ACL2 dan juga Piala Shopee.
"Jadi, kami semua di Selangor memang menanti saat ini untuk turut sama beraksi di pentas AFF dan saya rasa baik Selangor dan JDT, akan ada rezeki untuk kelab-kelab ini harumkan nama negara," ulas Shahril. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram