Kejayaan Buriram di Piala Shopee pemangkin JDT untuk terus 'improve'


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

JDT dan Buriram United bersaing hebat musim lalu untuk menjadi kelab terbaik di rantau Asia Tenggara.

GELARAN Kejohanan Kelab Asean atau turut dikenali sebagai Piala Shopee musim ini menjadi milik kelab Thailand, Buriram United yang menjuarainya selepas menewaskan wakil Vietnam, CAHN FC dalam perlawanan akhir mendebarkan baru-baru ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Osmar Loss itu berpeluang merangkul empat gelaran bagi kempen 2024/25 selepas turut menjuarai Liga Thai, Piala FA dan berada dalam final Piala Thai.

Tidak terhenti di situ, cengkaman Buriram United di pentas Asia turut disaksikan musim ini apabila mereka melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite yang tampil dengan format baharu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik Buriram mahu 'balas jasa' Dion Cools, sedia dengar tawaran kelab Jepun

BACA LAGI: Fans JDT rasa taktikal Hector Bidalgio lemah, punca seri lawan Buriram United

Buriram United menjuarai Piala Shopee yang menjadikan mereka pasukan terbaik di Asia Tenggara. Agensi

Pencapaian direkodkan tersebut membuka mata ramai pihak yang mengatakan pasukan itu menikmati kempen lebih baik berbanding Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berada di tangga teratas dalam kalangan kelab sekitar Asia Tenggara berdasarkan semakan di laman sesawang The Analyst.

Namun, kedudukan itu sahaja tidak cukup kerana Buriram United menikmati musim lebih baik apabila menjuarai Piala Shopee dan melangkah lebih jauh dalam ACL Elite walaupun ketinggalan dari segi tersebut.

Hal berkenaan turut diakui pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley yang mengakui kelab tersebut menikmati tempoh cemerlang sepanjang musim melihat kepada skuad dan gaya permainan diterapkan.

Pencapaian itu bagaimanapun boleh menjadi tonik buat skuad Harimau Selatan untuk menjadi pasukan lebih baik musim depan berdasarkan persaingan sihat ditampilkan dua kelab gergasi Asia Tenggara itu.

"Sudah tentu mereka mempunyai musim lebih baik. Dengan kualiti permainan dan barisan pemain dimiliki, Buriram United memang bersedia untuk ke pentas lebih tinggi. Musim ini boleh dianggap cemerlang buat Buriram.

JDT dan Selangor FC merupakan wakil negara dalam Piala Shopee musim depan. Agensi

"Saya percaya ini juga jadi pencetus motivasi terbaik buat JDT untuk terus bertambah baik musim depan. Rival antara JDT dan Buriram sangat menarik untuk kita lihat di pentas tertinggi Asia," katanya kepada Majoriti.

Musim depan, skuad Harimau Selatan akan menjadi satu daripada dua wakil negara ke Piala Shopee di samping Selangor FC selepas kedua-duanya berada dalam kedudukan tertinggi Liga Super 2024/25.

Kualiti pasukan Selatan tanah air tersebut sudah tentu membuatkan mereka mudah menjulang kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi kerana mereka berusaha menjadi lebih baik di tahap tertinggi.

Malah, bagi Afiq, JDT yang dijangka melakukan rombakan besar-besaran pada jendela perpindahan kali ini akan memandang serius kepada pertandingan peringkat Asia Tenggara itu.

"Untuk kejohanan Piala Shopee akan datang, pastinya JDT bakal memandang serius selain tertumpu kepada ACL Elite sahaja. JDT sentiasa memandang serius mana-mana kejohanan disertai. Untuk Piala Shopee, sudah tentu mereka ada sasaran lebih tinggi walaupun ia penyertaan sulung mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram