TMJ ucap tahniah kemenangan Persib, juara Liga 1 beri hint bakal kolaborasi bersama JDT


  • Podium
  • Isnin, 26 Mei 2025

Persib Bandung mengadakan sebuah pesta keraian pada Ahad bagi meraikan kemenangan mereka menjuarai saingan Liga 1 Indonesia.

LIGA Indonesia musim 2024/25 secara rasmi berakhir dengan Persib Bandung muncul sebagai juara apabila menamatkan musim dengan 69 mata daripada 34 perlawanan, ia merupakan kali kedua mereka meraih gelaran tersebut selepas memenanginya pada musim sebelumnya.

Kejayaan Persib tidak dapat dipisahkan daripada kepakaran jurulatih mereka iaitu Bojan Hodak dengan dia sekali lagi dianugerahkan gelaran Jurulatih Terbaik Liga 1, menjadikannya penerima anugerah itu untuk dua musim berturut-turut.

Gelaran Pemain Terbaik Liga 1 musim 2024/2025 pula diberikan kepada pemain tengah dari Sepanyol, Tyronne del Pino yang menjadi tonggak utama kejayaan Persib merangkul kejuaraan selepas menjaringkan 18 gol dan menyumbang lapan bantuan jaringan sepanjang musim.

BACA LAGI: Ketibaan Ibrahim Manusi, tak mustahil Nazmi Faiz-Endrick ditunjukkan jalan keluar dari JDT

BACA LAGI: 'Saya suka cabaran baharu', Xisco Munoz beri 'hint', kuatkan spekulasi jadi pengendali JDT

Kejayaan itu menyaksikan Persib Bandung mengadakan sebuah pesta keraian pada Ahad bagi meraikan kemenangan mereka menjuarai saingan Liga 1 Indonesia dan berlangsung meriah dengan dihadiri peminat setia pasukan.

Selain penyokong yang tumpang gembira dengan kemenangan mereka, kejayaan pasukan yang digelar Putera Biru itu juga mendapat perhatian pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menerusi satu hantaran di laman X, Tunku Ismail memuji pencapaian gemilang Persib Bandung yang muncul juara Liga 1 musim ini dan sekali gus mengiktiraf peranan Presiden kelab iaitu Glen Timothy Sugita.

"Ini adalah semangat yang sebenar, Persib Bandung. Tahniah Tuan Glen (Timothy Sugita)," kata Tunku Ismail ringkas namun penuh makna di platform media sosial tersebut.

Reaksi balas daripada pihak Persib Bandung tidak mengambil masa lama, apabila pasukan berkenaan tampil memberikan penghargaan kepada Tunku Ismail atas sokongan dan ucapan tahniah tersebut.

Selain itu, skuad Pengiran Biru turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Harimau Selatan atas kejayaan luar biasa menjuarai saingan Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut.

Lebih menarik, Persib turut mengemukakan satu cadangan yang pastinya menggembirakan para peminat bola sepak serantau iaitu kolaborasi antara pemain Persib dan JDT.

“Terima kasih Tunku, kami amat berbesar hati khususnya daripada Pak Glenn secara peribadi. Tahniah atas pencapaian menakjubkan JDT dengan 11 kejuaraan berturut-turut. Bagaimana pula dengan sedikit kolaborasi pemain antara Persib dan JDT?," balas Persib Bandung.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Tunku Ismail yang dilihat bersikap terbuka dan bersedia untuk menjayakan kerjasama antara kedua-dua kelab.

“Tahniah dan terima kasih Pak Glenn. Boleh diatur. Kolaborasi JDT dan Persib,” balasnya ringkas namun penuh isyarat positif.

Sekiranya kerjasama ini menjadi kenyataan, Persib Bandung bakal menyertai senarai eksklusif rakan kolaborasi JDT, menyusuli gergasi bola sepak Eropah, Paris Saint-Germain (PSG), yang sebelum ini telah menjalinkan hubungan strategik bersama kelab dari Selatan tanah air itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram