Andai sah kolaborasi JDT-Persib, 3 pemain bakal bertukar status termasuk pemenang Kasut Emas


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Kerjasama antara JDT dan Persib Bandung menjadi antara yang ditunggu-tunggu oleh penyokong.

KOLABORASI antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Persib Bandung menjadi antara yang ditunggu-tunggu oleh penyokong juara Liga Super dan pemenang Liga 1 Indonesia musim 2024/2025 berkenaan. 

Jalinan kerjasama berkenaan dijangka berlaku selepas pemilik kelab JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilihat terbuka dan bersedia dengan saranan skuad Pengiran Biru untuk berkolaborasi bersama mereka. 

Semuanya bermula apabila Tunku Ismail memuji pencapaian gemilang Persib Bandung yang muncul juara Liga 1 musim ini dan sekali gus mengiktiraf peranan Presiden kelab iaitu Glen Timothy Sugita. 

BACA LAGI: TMJ ucap tahniah kemenangan Persib, juara Liga 1 beri hint bakal kolaborasi bersama JDT

BACA LAGI: Ketibaan Ibrahim Manusi, tak mustahil Nazmi Faiz-Endrick ditunjukkan jalan keluar dari JDT

Tangkap layar hantaran dari Tunku Ismail. 

Reaksi balas daripada pihak Persib Bandung tidak mengambil masa lama, apabila pasukan berkenaan tampil memberikan penghargaan kepada Tunku Ismail atas sokongan dan ucapan tahniah tersebut.

“Terima kasih Tunku, kami amat berbesar hati khususnya daripada Pak Glenn secara peribadi. Tahniah atas pencapaian menakjubkan JDT dengan 11 kejuaraan berturut-turut. Bagaimana pula dengan sedikit kolaborasi pemain antara Persib dan JDT?," balas Persib Bandung.

Meskipun tidak menunjukkan sebarang petunjuk mengenai perbincangan di media sosial itu, penyokong dari kedua-dua kelab berpendapat pertukaran pemain mungkin berlaku menjelang musim 2025/2026 nanti. 

Menjengah respons penyokong di media sosial, beberapa nama pemain dipetik yang dikaitkan akan terlibat dengan kerjama dua kelab gergasi itu. 

1) Jordi Amat ke Persib Bandung

Amat merupakan antara bek tengah import terbaik pernah mewakili JDT beberapa musim kebelakangan ini. — Facebook/JDT

Tiada sebarang kenyataan lagi mengenai masa depan bek tengah Indonesia, Jordi Amat bersama Harimau Selatan, tetapi sudah ramai penyokong mengaitkan dia dengan skuad kendalian Bojan Hodak pada musim baharu nanti. 

Spekulasi tersebut semakin kukuh apabila timbul dakwaan bahawa kontrak bek warisan Indonesia-Sepanyol itu bersama Harimau Selatan bakal tamat pada 31 Mei ini, selepas menyertai JDT sejak tahun 2022.

Dengan pengalaman luas di kancah bola sepak Eropah serta fizikal unggul setinggi 1.85 meter, Amat menjadi pilihan ideal di posisi bek tengah. Kehadirannya mampu memberikan kestabilan dan kekuatan tambahan kepada barisan pertahanan Persib.

Dari sudut kewangan pula, Persib merupakan antara kelab yang stabil dan mereka diyakini mampu menawarkan pakej gaji kompetitif bagi memastikan aspek kebajikan pemain sentiasa terjaga, sekali gus menjadikan kelab itu destinasi terbaik untuk Amat.

Untuk rekod, bek berusia 33 tahun itu sudah menikmati pelbagai kemenangan bersama JDT sejak tiba pada 2022. Musim ini, Amat merekodkan 25 aksi bersama JDT termasuk 15 perlawanan Liga Super dan empat aksi Liga Juara-Juara Asia Elit. 

2) Nistelrooy ke Persib  

Nistelrooy disahkan sebagai penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025 selepas merekodkan 24 gol. — Facebook/JDT

Musim lepas, skuad Harimau Selatan berbaik hati meminjamkan pemain muda mereka ke kelab tempatan dan luar negara. Paling menyinar apabila penyerang JDT II iaitu Fergus Tierney dipinjamkan ke kelab Thailand, Chonburi FC dan Nakhonpathom United. 

Keputusan meminjamkan Tierney merupakan satu langkah positif dilakukan JDT apabila mutu permainannya semakin berkualiti dan dia juga semakin matang dalam proses membuat keputusan di atas padang. 

Perjalanan Tierney berkelana ke kelab luar negara itu boleh menjadi digunakan semula kepada satu lagi penyerang muda mereka iaitu Gabriel Nistelrooy dengan Persib Bandung boleh menjadi destinasi buat pemain kelahiran Miri, Sarawak itu.

Pemain berusia 25 tahun itu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila dia merupakan pemenang Kasut Emas dan Pemain Terbaik Piala MFL pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Dengan persaingan banyak daripada pemain senior di bahagian serangan seperti Bergson, Romel Morales, Syafiq Ahmad, Heberty dan Jorge Obregon, Nistelrooy boleh mencuba nasib dengan berhijrah ke kelab lain sebagai tonggak pinjaman. 

3) Gustavo Franca ke JDT 

Franca antara bek tengah cemerlang Persib musim ini. — Agensi

Situasi 'menang-menang' perlu dilakukan oleh JDT jika mereka melepaskan Amat ke skuad Pengiran Biru dengan Harimau Selatan boleh memantau bek tengah Persib Bandung iaitu Gustavo Franca pada musim baharu nanti. 

Baru berusia 28 tahun, pemain kelahiran Brazil itu merupakan tonggak penting bahagian pertahanan Persib musim ini selepas dia tampil dalam 35 perlawanan termasuk lima aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/2025. 

Persib Bandung merupakan pasukan pertamanya dalam rantau Asia apabila sebelum ini bek berketinggian 1.88 meter itu berpengalaman beraksi bersama kelab Brazil, Portugal dan Azerbaijan. 

Sebagai pemain yang memiliki ketenangan dan ketegasan dalam pertahanan Franca memperkuat barisan belakang JDT dengan kehadirannya yang dominan di udara dan kemampuannya membaca permainan lawan. 

Bukan hanya cemerlang di bahagian belakang, Franca juga mencatatkan nama sebagai penjaring Persib dengan menjaringkan enam jaringan gol dan dua assists. Lima daripada enam gol itu dihasilkan menerusi tandukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram