
IMPAK dibawa Katsuhito Kinoshi buat Selangor FC adalah cukup baik kerana dalam 13 perlawanan di bawah kendaliannya, skuad Gergasi Merah hanya mengalami dua kekalahan, iaitu kepada Muangthong United dan Sri Pahang FC.
Meskipun gaya permainannya acap kali dikritik, kesan daripada kehadirannya dapat disaksikan apabila kelab Lembah Klang itu enam kemenangan berturut-turut selain mara ke pentas akhir MFL Challenge Cup.
Selain itu, jurulatih dari Jepun tersebut wajar dipuji kerana dia berjaya memastikan setiap anak-anak buahnya terus menyerlah, baik dalam jentera serangan mahupun pertahanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jadi hero Derbi Lembah Klang, Fortes teruja raih kemenangan ke-7 di bawah coach Kino
BACA LAGI: Piala Cabaran: Jangan ketepikan peluang kami lakukan ‘upset’ — Maniam
Kinoshi membawa impak besar buat skuad Gergasi Merah sejak kehadirannya.
Antara pemain yang sememangnya menyerlah di bawah bimbingan Kinoshi adalah penyerang sayap, Alvin Fortes yang layak diangkat sebagai import terbaik buat Selangor FC musim ini.
Sentuhannya sudah dapat disaksikan sejak kempen pramusim skuad Gergasi Merah dengan dia berjaya mencipta persefahaman baik bersama Faisal Halim dalam aksi persahabatan.
Bagaimanapun, sejak Kinoshi hadir menggantikan Nidzam Jamil, bekas pemain kebangsaan Cape Verde itu menjadi watak utama pasukan, terutamanya dalam kempen MFL Challenge Cup.
Hasil daripada sumbangan mengagumkan di atas padang menyaksikannya diangkat sebagai pemain terbaik bagi Disember 2024 dan Januari 2025 setelah meraih 36.94 peratus undi anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
"Fortes terus membuktikan kehebatannya di atas padang dengan aksi konsisten serta sumbangan besar dalam setiap perlawanan. Kelincahan, kepantasan, dan kreativitinya dalam merencana serangan menjadi faktor utama kejayaan ini.
"Keupayaannya mengubah permainan serta memberi impak kepada pasukan menjadikannya pilihan utama peminat bola sepak. Pengiktirafan ini adalah hasil usaha dan kerja kerasnya bersama Selangor FC," tulis PFAM.
Berdasarkan statistik, pemain berusia 30 tahun berkenaan mencatatkan lima gol serta beberapa bantuan jaringan lain sepanjang tempoh Disember dan Januari yang amat diperlukan skuad Gergasi Merah.
Impaknya pasti diharap dapat diteruskan dalam usaha Kinoshi memastikan pasukan berkenaan menjulang MFL Challenge Cup selain menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram