
SELANGOR FC membuat keputusan bijak dengan mengekalkan dua tonggak import utama iaitu pemain sayap lincah, Alvin Fortes dan pemain tengah Noor Al-Rawabdeh untuk musim depan.
Saingan Liga Malaysia 2024/2025 telah pun berakhir dan dengan itu, khabar angin mengenai perpindahan pemain semakin hangat diperkatakan, termasuklah mengenai masa depan beberapa pemain Selangor FC.
Sebelum ini, beberapa tonggak utama Gergasi Merah dilaporkan mungkin akan meninggalkan pasukan, termasuk Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee, Safuwan Baharudin dan Yohandry Orozco yang tidak lagi tersenarai dalam perancangan pasukan.
BACA LAGI: MFL respons kenyataan Penang FC, fans akur tindakan lanjutan tarikh demi meriahkan liga
Dalam perkembangan terbaru, nasib pemain import Selangor turut menjadi tanda tanya.
Namun, laporan terkini mengesahkan bahawa Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh kekal bersama pasukan Gergasi Merah bagi menghadapi musim depan.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Sri Shahril Mokhtar, menyatakan bahawa kedua-dua pemain import tersebut akan terus dipertahankan bersama dengan pertahanan dari Jordan, Mohammad Abualnadi.
Berita gembira berkenaan dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi, di laman X.
"Yang kekal sekarang, yang pasti, Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh. Noor masih ada satu lagi musim.
"Seorang lagi pemain, Insya-ALLAH, Mohammad Abualnadi, pemain dari Jordan," katanya.
Berdasarkan rekod, Alvin Fortes menjalani musim sulung yang cemerlang bersama Selangor FC, menjaringkan 17 gol dan mencatatkan lima bantuan gol dalam 35 penampilan.
Sementara itu, Noor Al-Rawabdeh terpaksa menanggung nasib malang apabila mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada Oktober lalu, yang memaksanya untuk berehat sepanjang musim 2024/2025.
Dengan kekalutan perpindahan pemain, keputusan itu memberi keyakinan kepada penyokong Selangor FC, yang berharap kedua-dua pemain ini dapat meneruskan sumbangan mereka pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram