Lepas 7 bulan Ten Hag pergi, penyerang sayap Man United akhirnya kongsi pengalaman pahit


  • Podium
  • Isnin, 19 Mei 2025

Diallo mendedahkan kekecewaan mendalam yang dialaminya ketika bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama di bawah pengurusan Ten Hag.  — Agensi

PENYERANG sayap Manchester United, Amad Diallo mendedahkan kekecewaan mendalam yang dialaminya ketika bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama di bawah pengurusan Erik ten Hag, terutama dalam perlawanan Liga Europa menentang Fenerbahce pada Oktober lalu.

Diallo yang ditandatangani dari Atalanta oleh Ole Gunnar Solskjær pada Januari 2021 hanya membuat lapan penampilan pada musim pertamanya bersama kelab sebelum dipinjamkan ke Rangers dan kemudiannya Sunderland, di mana beliau dinobatkan sebagai Pemain Pilihan Peminat PFA Championship musim 2022-23.

Walaupun Ten Hag memberikan Diallo 12 penampilan musim lalu dan dia menjaringkan gol kemenangan dramatik minit ke-120 dalam suku akhir Piala FA menentang Liverpool, musim itu bermula dengan penuh cabaran buat pemain Ivory Coast itu. 

BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen

BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana

Dalam pertembungan Liga Europa di Istanbul, Diallo dilihat kecewa apabila Antony dimasukkan sebagai pemain gantian minit ke-73, manakala dia hanya diturunkan pada minit ke-89 selepas Antony mengalami kecederaan.

“Saya perlukan masa permainan untuk menunjukkan bahawa saya boleh bermain untuk kelab ini. 

"Pada ketika itu saya sedikit kecewa kerana kadang-kadang anda rasa anda layak bermain, tetapi anda tidak dimainkan," katanya.

Namun, nasibnya berubah selepas Ruben Amorim mengambil alih jawatan pengendali pada November. Sejak itu, Diallo menjadi antara tonggak utama skuad United dan tampil cemerlang dalam beberapa perlawanan penting.

“Ia kerana pengurus percaya kepada saya. Dia percaya kepada potensi saya. Saya cuba membalas kepercayaannya setiap kali saya berada di atas padang. Saya telah tunjukkan kepada semua orang bahawa saya boleh bermain untuk kelab ini," kongsinya. 

Malangnya, pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan buku lali pada Februari dan dijangka terlepas baki musim ini. 

Namun, dengan semangat dan kerja keras bersama pasukan fisioterapi, Diallo mengejutkan ramai apabila kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam separuh akhir pertama Liga Europa pada 1 Mei lalu.

Amorim membantu Diallo menjadi tonggak utama Man United.  — Agensi

“Saya tidak lakukan apa-apa yang istimewa,. Saya hanya cuba lakukan yang terbaik setiap pagi bersama ahli fisioterapi," jelasnya.

Di bawah Amorim, Diallo telah ditugaskan sama ada sebagai bek sayap kanan atau pemain nombor 10 dalam formasi 3-4-3. Baginya, tiada posisi tetap yang menjadi keutamaan.

“Saya hanya mahu ikut arahan pengurus dan sistem permainannya. Perbezaan di posisi bek sayap kanan adalah anda perlu turun semula untuk bertahan dan juga menyerang. Posisi nombor 10 pula lebih ke hadapan," kongsi pemain itu.

Diallo kini bersedia untuk memulakan aksi akhir Liga Europa menentang Tottenham di Stadium San Mames, dengan harapan untuk menamatkan rekod malang dalam dua perlawanan akhir terdahulu iaitu ketika bersama United dan Rangers apabila kedua-duanya tewas menerusi sepakan penalti.

“Saya harap dapat menang kali ini. Saya sentiasa berdoa untuk itu. Ia akan sangat bermakna untuk saya dan juga untuk pasukan kerana kami mahukan sesuatu menjelang penghujung musim ini,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram