Angkara Ten Hag, Liverpool mungkin terlepas bintang muda Jerman


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Ten Hag memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan Wirtz— Agensi

PENGURUS baharu Bayer Leverkusen, Erik ten Hag mungkin memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan bintang muda Jerman, Florian Wirtz yang kini menjadi sasaran utama Liverpool menjelang jendela perpindahan musim panas.

Menurut laporan media antarabangsa, skuad The Reds sudah mengemukakan bidaan awal bernilai sekitar $114 juta (RM535 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 22 tahun tersebut. 

Bagaimanapun, Leverkusen dilaporkan meletakkan tanda harga lebih tinggi buat Wirtz iaitu sekitar $171 juta (RM803.7 juta) jumlah yang bakal memecahkan rekod perpindahan kelab Merseyside tersebut.

BACA LAGI: Jadi rebutan Bayern Munich-Real Madrid, Liverpool mahu ‘sailang’ bintang Jerman

BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen

Ten Hag yang mengambil alih tampuk kepimpinan Leverkusen selepas pemergian Xabi Alonso ke Real Madrid melihat Wirtz sebagai tonggak utama dengan pengendali dari Belanda itu tidak menolak kemungkinan dia kekal di Bay Arena.

“Dia pemain yang hebat. Saya telah mengikuti perkembangan dia dengan penuh minat. Sama ada dia akan kekal atau tidak, kita tak tahu," katanya. 

Sementara itu, pakar perpindahan terkenal Fabrizio Romano melaporkan bahawa Liverpool mahu memuktamadkan rundingan secepat mungkin, dengan perbincangan harga dan terma pembayaran masih berlangsung. 

Difahamkan, pemain kebangsaan Jerman berkenaan sudah memberi persetujuan awal untuk berhijrah ke Anfield dan menolak minat dari pesaing utama, Bayern Munich.

Bintang muda Leverkusen, Florian Wirtz. — Agensi

Selain Wirtz, Liverpool turut menunjukkan minat terhadap rakan sepasukannya, Jeremie Frimpong yang dilihat sebagai pengganti jangka panjang kepada Trent Alexander-Arnold di posisi bek kanan. 

Bekas pemain muda Manchester City itu cemerlang di bawah kendalian Alonso, dikatakan mempunyai klausa pelepasan sebanyak $41 juta (RM192.7 juta).

Bagaimanapun, Ten Hag kekal berahsia mengenai rancangan perpindahannya musim panas ini, termasuk masa depan pertahanan utama Jonathan Tah yang turut dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah.

Xabi Alonso berhijrah ke Real Madrid. — Agensi

“Saya belum berbincang dengan para pemain, tempoh masa terlalu singkat untuk itu. Sebahagian besar pemain masih bersama pasukan kebangsaan atau sedang bercuti. 

"Saya ada gambaran umum tentang skuad, tetapi belum secara terperinci. Kami masih ada masa, tetapi perlu segera membuat keputusan," jelasnya. 

Di pihak Liverpool, kelab itu sedang merangka pelan besar untuk menyokong pengurus baharu Arne Slot dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim depan. Frimpong dijangka menjadi salah satu daripada beberapa pemain pertahanan baharu yang bakal menyertai skuad. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram