
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa perlawanan menentang Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu bukan sekadar aksi persahabatan, tetapi satu penghargaan kepada jutaan penyokong kelab itu di rantau Asia.
Amorim mahu memastikan pasukannya tampil dengan persembahan terbaik sebagai tanda hormat terhadap sokongan luar biasa yang diterima di Malaysia.
“Setiap kali kami bermain, kami tahu jutaan peminat sedang menonton. Jadi ia sangat penting. Kami mahu menghormati perhatian dan sokongan ini dengan satu persembahan yang baik.
"Pada masa yang sama, ia adalah satu peluang untuk terus memperbaiki pasukan menjelang musim baharu,” kata Amorim ketika sesi sidang media pada Selasa.
BACA LAGI: Amorim tak mahu skuad terlalu besar, sedia ketengah bakat muda Man United
BACA LAGI: 'Kami ada rancangan', Amorim balas tawaran RM600 juta Al-Hilal mahu beli Bruno Fernandes
Sebahagian momen sempat dirakam dalam sidang media Manchester United yang bakal bertemu Asean All-Stars pada Rabu.
Menurutnya, perlawanan itu juga akan dimanfaatkan untuk menilai pemain dan taktikal pasukan secara keseluruhan.
“Kami tahu kami perlu mempertingkatkan pasukan. Jadi setiap perlawanan adalah peluang pembangunan. Kami akan gunakan perlawanan ini sepenuhnya,” tambahnya.
Di samping itu, pemain tengah United, Mason Mount turut berkongsi semangat yang sama dan berazam untuk mencipta kejayaan dalam perlawanan persahabatan tersebut.
“Seperti yang dikatakan Amorim, apabila anda memakai jersi ini, anda mahu memberikan yang terbaik. Kami akan turun untuk menang. Kami tahu pasukan Asean All-Stars kuat dan kami bersedia untuk cabaran itu,” katanya.
Sementara itu, pengendali Asean All-Stars, Kim Sang-sik dari Korea Selatan, berkongsi bahawa para pemainnya bersemangat tinggi untuk menentang kelab besar seperti United, walaupun hanya dikumpulkan dalam masa yang singkat.
"Kami amat gembira apabila diberi peluang untuk mengharungi perlawanan ini di Malaysia dan selamat datang kepada Manchester United Asia Tenggara.
“Ini bukan sahaja barisan pemain terbaik dari Vietnam, tetapi dari seluruh Asia Tenggara. Kami mungkin mempunyai masa yang terhad untuk latihan, tetapi kami akan memberikan aksi terbaik untuk para penyokong di Malaysia. Ini satu peluang besar dan kami hargainya," jelasnya.
Tonggak tengah Man United, Mason Mount. — Instagram/masonmount
Sementara itu, wakil Asean All-Stars, Sergio Aguero menyatakan rasa bangga dapat beraksi menentang Manchester United.
Menurutnya, status United sebagai gergasi Eropah bukan halangan untuk pemain Asean All-Star mempamerkan aksi terbaik.
“Kami sedar ia bukan satu perlawanan biasa. Kami berbangga diberi peluang ini dan akan lakukan yang terbaik. Kami akan bekerja keras dan cuba mencipta sesuatu yang bermakna untuk peminat di Asia,” katanya ringkas.
Skuad kendalian Sang-sik dibarisi pemain terbaik Asia Tenggara dalam misi mengekang The Red Devils termasuk empat bintang Australia iaitu, Harrison Delbridge, Adrian Segecic, Yaya Dukuly dan Kealey Adamson.
Sementara itu, lima tonggak Harimau Malaya turut dipanggil bagi menyertai pasukan iaitu Haziq Nazli, Declan Lambert, Azam Azmi Murad, Adib Ra'op dan Aguero. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram