
BOLA sepak Malaysia bakal menyaksikan seorang lagi nama yang akan berkelana di Jepun pada musim depan.
Dion Cools yang kini bersama Buriram United dilaporkan akan menyertai kelab J1 League, Cerezo Osaka sekali gus menaikkan profil pemain tersebut sebagai bintang ulung negara.
Sebelum Cools, kita sudah menyaksikan beberapa nama tempatan yang pernah beraksi di Jepun dan mencuba nasib di sana.
BACA LAGI: Cklamovski sahkan Dion Cools-Hector Hevel di Fasa 3, tak sempat beraksi menentang Cape Verde
BACA LAGI: Saham Dion Cools mencanak, disebut-sebut dalam radar kelab gergasi Jepun
Hadi Fayyadh
Tidak boleh untuk kita abaikan nama Hadi Fayyadh apabila berbicara mengenai bola sepak Jepun dan Malaysia. Hal ini kerana, Hadi menghabiskan tempoh di sana dengan agak lama.
Di Jepun, Hadi menghabiskan beberapa tahun dengan beraksi bersama beberapa kelab seperti Azul Claro Namazu serta Fagiano Okayama.
Hadi (depan) beraksi di pelbagai kelab semasa berkelana dekat Jepun.
Hadi mempunyai pengalaman unik beraksi di Jepun dengan dia bersama dengan dua kelab dalam divisyen berbeza iaitu Azul Claro Namazu di J3.League sementara Fagiano Okayama pula bersaing di J2.League.
Lebih menarik, Hadi juga pernah menjadi Duta Pelancongan Okayama semasa dia bersama Fagiano Okayama.
Wan Zack Haikal
Nama pemain sayap, Wan Zack Haikal juga tidak boleh dilupakan kerana dia antara nama besar yang pernah ke Jepun semasa awal kariernya.
Memperoleh reputasi sebagai berpotensi tinggi, Zack mendapat kontrak bersama-sama kelab J3.League, FC Ryukyu semasa beraksi menentang mereka bersama skuad Harimau Muda.
Masa Zack (kiri) di Jepun terhenti kerana kecederaan.
Dia kemudiannya menjadi sensasi di Malaysia apabila berjaya mendapatkan tempat di saingan J.League sehingga mendapat penampilan pertamanya bersama kelab.
Malangnya, kecederaan lutut yang dialami oleh Zack menghentikan masanya di Ryukyu dengan pemain itu kemudiannya pulang ke Malaysia untuk bersama Kelantan FC.
Nazirul Naim
Selain Zack, kehadirannya di Ryukyu ketika itu turut disertai oleh rakan sepasukan iaitu Nazirul Naim.
Dia yang turut menyerlah bersama-sama Zack ketika Harimau Muda berdepan kelab itu berjaya mendapatkan kontrak namun perlu mengharungi jalan lebih panjang berbanding pemain sayap itu.
Nazirul (kanan) turut menyertai FC Ryukyu.
Hal ini kerana, Nazirul perlu berdepan tempoh percubaan (trial) selama dua minggu terlebih dahulu sebelum berjaya mendapatkan kontrak penuh bersama kelab.
Malangnya buat Nazirul, kecederaan berterusan membuatkan dia tidak berjaya melakukan sebarang penampilan untuk Ryukyu dan terpaksa pulang semula ke Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram