Enggan poket koyak, Penang-Sabah-TFC tak terikut-ikut buru 15 awang import


  • Podium
  • Sabtu, 24 Mei 2025

MFL meningkatkan jumlah pemain import bagi menambah kemeriahan dalam Liga M.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penambahan kuota pemain import bagi dengan setiap kelab Liga Super dibenarkan mendapatkan sehingga 15 pemain.

Tujuannya adalah untuk memastikan liga lebih kompetitif dan menarik sambil membolehkan wakil Malaysia di pertandingan Asia dan Asia Tenggara lebih garang dalam memburu kejuaraan.

Walaupun dibenarkan, namun beberapa kelab memilih untuk tidak terburu-buru dalam memenuhkan kesemua kuota tersebut.

BACA LAGI: ‘Takziah pemain lokal', kelab dinasihat fikir betul-betul nak guna 15 import musim depan

BACA LAGI: Tak mahu jadi pasukan belasahan, Kelantan Red Warrior sedia penuhkan kuota pemain import

Di mata Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid, mereka harus berhati-hati dalam memastikan poket kelab tidak bocor sehinggakan menyebabkan masalah kewangan.

"Situasi ini kami perlu waspada. Jangan hanyut hanya kerana mahu kuat di atas padang, tetapi akhirnya poket koyak. Berbelanja berpada-pada tidak bererti kita akan lemah.

"Peraturan baharu ini bakal memberi impak besar terhadap liga. Intensiti permainan akan lebih tinggi. Ini peluang terbaik bagi pemain tempatan meningkatkan kemampuan mereka jika mahu pergi jauh dalam sukan ini," ujarnya menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC, Jeffrey Chew berkata, Harimau Kumbang akan berhati-hati ketika berbelanja dengan mereka melakukan beberapa proses untuk mengelak daripada isu kewangan timbul.

Dalam urusan pemain import, mereka hanya mengambil pemain bersesuaian dengan bajet kelab.

"Pemain-pemain ini ada beberapa kategorinya. Ada yang mahal kerana mereka telah berada di pasukan yang bagus dan ada yang pernah bermain di liga kita dan telah berpindah ke luar negara dan akan cuba balik ke sini. 

"Kami akan menjaga proses kami untuk tidak terlalu banyak berbelanja dan menilai apa yang sepatutnya dijalankan. Kita akan melihat juga bajet kami mencukupi atau tidak dan kemudian kami akan membelanjakannya dengan baik. Itu yang penting," kata Jeffrey.

Sementara bagi Terengganu FC, penglibatan mereka dalam Piala Shopee musim lalu membuatkan mereka menggunakan sehingga sembilan pemain asing.

Dengan mereka hanya akan beraksi dalam kejohanan domestik pada musim baharu, Terengganu memberi bayangan akan menggunakan bilangan pemain import yang sedikit mengikut kemampuan.

"Mungkin dengan kuota yang ditambah memberi kemeriahan lagi dalam Liga M, tapi yang kita harap pasukan-pasukan dapat berbelanja ikut kemampuan masing-masing.

"Setakat ini Terengganu menggunakan sembilan import kerana terlibat dalam Piala Shopee, tapi untuk musim depan belum diputuskan lagi. Kita akan belanja ikut kemampuan kewangan kita," ulas pengurus pasukan Terengganu FC, Shahrizan Mohd Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram