
PERUBAHAN besar akan dilakukan Selangor FC bagi memberi saingan lebih memberangsangkan di pentas domestik selain bercita-cita besar menampilkan persembahan lebih baik dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Bagaimanapun, sebelum boleh membawa masuk wajah-wajah baharu, naib juara Liga Super 2024/25 berkenaan perlu melepaskan beberapa pemain bagi memastikan struktur kewangan kelab kekal stabil.
Hal itu turut diakui Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengesahkan pihaknya sudah menyenaraikan nama yang bakal ditunjukkan jalan keluar.
BACA LAGI: [VIDEO] Pilihan bijak misi Asia, Alvin Fortes-Noor Al-Rawabdeh kekal tonggak import Gergasi Merah
BACA LAGI: Lepas persoal layanan Selangor, TMJ dedah perbualan dengan Shahril Mokhtar
Shahril Mokhtar menyatakan nama-nama yang tidak akan lagi bersama Selangor FC musim depan.
Dia sebelum ini menyatakan import-import seperti Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco serta penyerang kebangsaan Jordan, Ali Olwan akan mengangkat kaki dengan nasib sama turut menanti kapten pasukan, Safuwan Baharudin.
"Safuwan memiliki kontrak setahun lagi bersama kami. Kita sekarang sedang berbincang dengannya untuk meminjamnya keluar. Tiada sebarang isu berbangkit tetapi dia hanya mahukan cabaran baharu.
"Selain itu, beberapa pemain lain yang tidak meraih minit permainan mencukupi dan yang beraksi dalam skuad Piala MFL akan dipinjamkan keluar ke mana-mana kelab tempatan atau di luar negara," katanya.
Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpindahan Selangor FC turut menyatakan terdapat calon kapten baharu yang akan dilantik sekiranya Safuwan meninggalkan skuad Gergasi Merah.
Ini termasuk pemain tengah muda, Nooa Laine dan tonggak utama dalam jentera serangan, Faisal Halim yang masing-masing memiliki kriteria kepimpinan tersendiri meskipun terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua mereka.
Skuad Gergasi Merah perlu mencari kapten baharu sekiranya Safuwan meninggalkan pasukan itu. — Facebook/Selangor FC
Dalam pada itu, dia sempat menjelaskan proses menandatangani pemain baharu akan dibuat dengan kerjasama pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi dengan beberapa nama sudah berada dalam senarai.
"Kita sudah melihat kepada pemain dari Eropah, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Jepun. Kami belum mengesahkan semua sasaran baharu itu, namun kita akan cuba membawa mereka masuk sebelum permulaan sesi latihan pramusim.
"Pihak pengurusan sedang sibuk menyelesaikan pelbagai urusan untuk membawa masuk nama-nama besar, tetapi kita tidak boleh berbelanja berlebihan. Selain itu, usaha mendapatkan bintang dari Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang mudah," katanya lagi.
Sebelum ini, Selangor FC difahamkan sedang berusaha mendapatkan pemain kebangsaan Indonesia, Eliano Reijnders, namun perpindahan itu dilaporkan gagal dimeterai kerana dia hanya kekal di Eropah.
Beberapa pemain import lain turut berada dalam senarai buruan skuad Gergasi Merah, termasuk bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira serta pemain tengah antarabangsa Venezuela, Juanpi Anor. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram