
TONGGAK pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools terus mencuri tumpuan apabila dilaporkan kini berada dalam radar kelab gergasi bola sepak Jepun, Cerezo Osaka.
Menurut laporan Ball Thai, kelab Jepun itu telah memulakan rundingan dengan pemain berusia 28 tahun itu.
Difahamkan, kontrak Cools bersama Buriram United akan tamat pada 30 Jun ini, menjadikannya ejen bebas yang bebas berunding dengan mana-mana kelab selepas tarikh tersebut.
BACA LAGI: Senarai belum muktamad, 3 bintang JDT termasuk Hong Wan mungkin antara digugurkan Cklamovski
BACA LAGI: Legenda bola sepak tanah air khuatir nasib pemain domestik lepas banyak kelab keluar Liga M
“Cerezo sedang berunding untuk mendapatkan Dion selepas tamat musim Liga Thai 2024/25. Buriram United pula tidak akan menghalang perpindahan tersebut dan telah pun mengenal pasti pengganti bagi posisi pertahanan kanan,” kata laporan itu.
Jika perpindahan itu dimuktamadkan, Cools berpeluang untuk kembali bekerjasama dengan bekas jurulatih Buriram United, Arthur Papas yang kini mengendalikan Cerezo Osaka selepas meninggalkan kelab Thailand itu pada Mac 2024.
Sepanjang musim 2024/25 bersama Buriram, Cools telah mencatat 50 penampilan, menjaringkan empat gol serta mencipta sembilan bantuan gol.
Cools turut berpeluang menamatkan musim dengan empat trofi bersama Thunder Castle, setelah membantu pasukan menjuarai Thai League 1 dan kini memburu kejuaraan dalam Shopee Cup, Thai FA Cup dan Thai League Cup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram