Nafi kelab tak selesai tunggakan gaji, KDN FC harap pemain faham situasi


  • Podium
  • Ahad, 25 Mei 2025

Skuad Kijang Emas dilaporkan masih terpalit dengan isu kewangan yang belum diselesaikan setakat ini.

KELANTAN Darul Naim (KDN) FC menafikan dakwaan kelab itu tidak memenuhi kriteria mendapatkan Lesen Kebangsaan (dengan ‘sanction’) daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan tunggakan gaji pemain musim 2024-2025.

Presiden pasukan Pantai Timur itu, Rozi Muhamad menjelaskan, kelab itu kini dalam proses menyelesaikan baki tunggakan untuk Februari sehingga April 2025 manakala gaji pada Mei 2024 sehingga Disember 2024 sudah diselesaikan. 

Justeru, dia menegaskan bahawa KDN FC memenuhi segala syarat dan kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) dan MFL, termasuklah untuk kelab menyelesaikan tunggakan gaji sehingga 31 Disember tahun lalu (mengikut syarat AFC) sebagai antara syarat lulus permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026 yang menyaksikan KDN diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’.

BACA LAGI: Impian Selangor mahu rekrut import Palestin punah, Oday Kharoub tak dapat restu presiden

BACA LAGI: Baru anak jantan, KDN FC pilih stadium lawan jumpa JDT

Rozi menyatakan kesungguhan pihak pengurusan kelab menyelesaikan tunggakan gaji.

“Berkenaan isu yang tular mengatakan pemain mendakwa kita ada lagi tunggakan yang menyebabkan kita tak layak sebenarnya melepasi syarat perlesanan, saya menafikan dakwaan itu.

“Ini kerana KDN FC sebenarnya dah memenuhi segala syarat yang ada untuk kita mendapatkan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ dan sebab itu kita hanya ada tiga bulan sahaja lagi tunggakan iaitu pada Februari 2025 sehingga April 2025 di mana kita tetap komited untuk berusaha menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

Dalam kontroversi terbaru, bekas pemain tengah Kijang Emas, Jasmir Mehat mempersoalkan bagaimana MFL mampu memberikan lesen kebangsaan buat pasukan tersebut yang terpalit isu kewangan musim lalu.

Pendedahan yang dibuat di Instastory peribadinya itu turut menyatakan kesediannya untuk melampirkan penyata kewangan untuk membuktikan pihak pengurusan kelab belum menyelesaikan tunggakan gaji.

Luahan dibuat Jasmir yang mempersoalkan bagaimana KDN FC boleh memperolehi lesen kebangsaan.

Menurut Rozi lagi, bayaran belum diselesaikan dalam kalangan pemain tidaklah begitu serius kerana hanya beberapa daripada mereka yang tidak lagi menerima bayaran tiga bulan penuh.

“Jadi dekat sini saya nak tegaskan yang kelab sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu ini di mana kita tetap bayar secara berperingkat dan akan selesaikan sepenuhnya dalam masa terdekat. 

“Ini termasuklah juga pembayaran KWSP dan Perkeso di mana pihak kami juga sudah ada persetujuan bersama KWSP untuk kelab menyelesaikan tunggakan yang ada dan kami sudah mulakan pembayaran secara berperingkat sejak pertengahan April lalu”, jelasnya.

Dalam masa sama, Rozi turut mengharapkan barisan pemain dapat memahami situasi ini dan tidak lagi sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan di laman media sosial sebelum merujuk terlebih dahulu kepada pihak pengurusan kelab memandangkan KDN dalam usaha untuk menyelesaikan tunggakan ini dalam masa terdekat. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram