KELAB Liga Super, Kelantan Darul Naim (KDN) FC terpaksa melakukan tindakan sukar dengan tidak beraksi di laman mereka sendiri bagi pertemuan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak kelab pada Khamis, KDN memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk penukaran lokasi perlawanan antara kedua-dua kelab kepada Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri yang dijadualkan pada 22 September.
Permohonan tersebut dibuat atas faktor gelanggang rasmi Sang Kijang Emas, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu masih dalam proses baik pulih.
BACA LAGI: Dikaitkan dengan pemain import bersara, Kelantan Darul Naim FC mahu rombak serangan pasukan?
BACA LAGI: 'Ada rezeki bersama lagi', keeper Kelantan selangkah tinggalkan Kedah?
"Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf jadi kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.
"Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.
"Bagaimanapun ketika ini pihak kami masih menunggu kebenaran daripada MFL berkenaan perubahan venue ini. Pemilihan venue SSI ini juga dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC adalah menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September 2024," kata Presiden KDN iaitu Rozi Muhamad.
Menurut KDN, mereka berbuat demikian kerana turut mengambil kira jarak antara Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan SSI yang lebih dekat. Ia juga dilihat sebagai satu langkah berjimat daripada KDN.
Walaupun sudah mendapat persetujuan antara kedua-dua kelab, tetapi MFL masih belum memberikan kata putus mengenai permohonan KDN itu.
Cuma di pihak peminat KDN, rata-ratanya menyifatkan permohonan itu sebagai 'anak jantan' berbanding beraksi di gelanggang berkecuali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram