
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi salah sebuah kelab tempatan yang tidak memperolehi lesen kebangsaan selepas gagal memenuhi kriteria kewangan kelab.
Ketiadaan kelab Utara tanah air itu sudah tentu menjejaskan kemeriahan arena bola sepak tanah air kerana skuad Sang Kenari memiliki barisan pemain yang berkualiti dan berpengalaman.
Salah seorangnya ialah bek kanan pasukan, Rizal Ghazali yang dahulunya beraksi di peringkat kebangsaan memandangkan kebolehannya dari segi bertahan dan menyerang amat diperlukan.
BACA LAGI: Rizal Ghazali, ex LWB kongsi perasaan sayu, Sang Kenari tinggal ‘jasa jadi kenangan’
BACA LAGI: Bukan setakat lantik jurulatih baharu, Akmal Rizal nasihat KDN peka isu kewangan
Skuad Sang Kenari memiliki lambakan pemain yang boleh beraksi di tahap tertinggi. — Facebook/KDA FC
Meskipun kurang beraksi musim lalu, kualitinya tidak boleh dipandang rendah kerana setiap kali beraksi, dia mampu mematahkan serangan lawan menggunakan bentesan dan hadangan tepat.
Namun, penampilan terhad buat skuad Sang Kenari juga bukanlah atas kerelaannya sendiri memandangkan isu kewangan pasukan membuatkannya enggan memberi komitmen terbaik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Jadi, dengan pembubaran KDA FC, pemain berusia 32 tahun tersebut perlu mencari kelab baharu dengan terdapat tiga pasukan sesuai untuk mendapatkan khidmatnya bagi memperkukuhkan benteng masing-masing.
1. Sabah FC
Sepanjang karier profesional Rizal Ghazali, dia hanya pernah mewakili dua kelab iaitu KDA FC dan Sabah FC yang disertainya pada 2021 bagi mengikuti jejak rakan baiknya, Baddrol Bakhtiar.
Bersama kelab Borneo tanah air itu, kedua-dua pemain berkenaan menjadi watak penting dalam membantu mereka menamatkan penantian beraksi pentas Asia selepas berada di tangga ketiga Liga Super tiga musim lalu.
Rizal pernah beraksi buat skuad Sang Badak selama dua musim. — Facebook/Sabah FC
Namun, Rizal kemudian memilih untuk meninggalkan skuad Sang Badak tahun lepas susulan keputusan sahabatnya menceburi dunia politik dengan keputusan pulang ke Utara tanah air itu tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.
Tetapi, dengan KDA FC tidak lagi berada dalam saingan Liga Super 2025/26, pemain pertahanan itu boleh kembali ke Negeri di Bawah Bayu dengan perpindahan tersebut pasti direstui penyokong dan pihak pengurusan.
Ini kerana Sabah FC ketika ini memerlukan bek kanan yang berpengalaman untuk memperkukuhkan barisan terakhir pasukan dengan posisi tersebut diisi Jefri Firdaus Chew musim lalu.
2. Penang FC
Kemeriahan yang semakin terjejas dalam arena bola sepak tanah air tidak menghalang Penang FC daripada melakukan rombakan terhadap pasukan apabila mereka memilih untuk melepaskan seramai 22 pemain baru-baru ini.
Jadi, untuk mengisi kekosongan ditinggalkan itu, skuad Harimau Kumbang perlu membawa masuk nama-nama yang lebih berpengalaman terutamanya dari segi pertahanan yang amat meruncingkan sepanjang kempen lalu.
Skuad Harimau Kumbang bakal dirombak selepas seramai 22 pemain dilepaskan. — Facebook/Penang FC
Pilihan terbaik dimiliki kelab Utara tanah air tersebut sudah tentu merupakan Rizal Ghazali yang bersedia menyertai pasukan berkenaan selagi mereka tidak berdepan isu pengurusan.
Kehadirannya sebagai bekas bek kanan Harimau Malaya juga adalah satu penambahbaikan berbanding pemain musim lalu, Fairuz Zakaria yang kurang memberi impak dari segi serangan menggunakan hantaran lintang.
Lokasi kelab tersebut dilihat mampu menjadi tarikan kerana dia yang kini sudah berumah tangga pasti enggan berpisah daripada isterinya dengan Penang FC merupakan pilihan terbaik ketika ini.
3. Melaka FC
Dalam kenyataan dikeluarkan MFL sebelum ini, mereka turut mengumumkan kehadiran tiga pasukan baharu dalam saingan Liga Super 2025/26, termasuk Melaka FC yang kembali setelah muncul juara Liga A1 Semi Pro.
Kelab tersebut kali terakhir berentap dalam divisyen teratas bola sepak tempatan adalah pada 2022 dengan mereka ketika itu masih berstatus Melaka United FC yang akhirnya dibubarkan akibat masalah pengurusan.
Skuad Hang Tuah akan kembali beraksi dalam Liga Super selepas dua musim menyepi. — Facebook/Melaka FC
Jadi, selepas dua musim meninggalkan Liga Super, skuad Hang Tuah pasti akan mempersiapkan pasukan dengan membuat pelaburan besar-besaran pada jendela perpindahan kali ini.
Antara nama besar boleh disambar sudah tentu Rizal Ghazali yang tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini, sekali gus membuka peluang cerah buat Melaka FC menyambar khidmatnya.
Pasukan kendalian K Devan itu juga pasti boleh menepati permintaan gaji pemain berusia berkenaan yang hanya mahu kestabilan memasuki penghujung kariernya yang akan berakhir beberapa musim lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram