Cemerlang sepanjang musim buatkan 'saham' bintang JDT-Selangor-Kuching naik mencanak


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Dari kiri: Arif, Laine dan Mintah mengalami kenaikan nilai pasaran selepas cemerlang di Liga Super

SATU lagi musim Liga Super sudah berakhir dengan kelab-kelab masih dalam usaha untuk menyiapkan skuad bagi musim baharu.

Musim 2024/2025 menyaksikan beberapa pemain mengalami kenaikan nilai pasaran selepas mempamerkan persembahan berkualiti sepanjang musim dalam membantu kelab masing-masing.

Peningkatan nilai pasaran itu pastinya akan membuatkan kelab mahu terus mengekalkan pemain tersebut walaupun akan ada kelab lain yang berminat mahukan khidmat mereka.

BACA LAGI: Bijaknya KDN lantik Elavarasan, individu tepat ketuai revolusi Sang Kijang Emas

BACA LAGI: Cemerlang di Indonesia, Kim Swee lawan Bojan Hodak rebut gelaran jurulatih terbaik Liga 1

Arif Aiman

Seperti biasa, nama pemain ini pastinya akan tersenarai kerana persembahannya sentiasa menarik perhatian ramai saban musim.

Arif Aiman menjadi watak penting buat Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini. Sekali lagi, pemain sayap itu tidak mengecewakan dengan dia sekali lagi diangkat sebagai pemain paling bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Arif merupakan MVP Liga Super bagi musim 2024/2025.

Musim ini, Arif menghasilkan tujuh gol serta 13 bantuan jaringan untuk membantu JDT mengekalkan kejuaraan liga. Dia turut menghasilkan 12 gol lain dalam pertandingan-pertandingan tempatan dan kejohanan Asia.

Ia membuatkan nilai pasaran Arif meningkat daripada €600,000 (RM2.9 juta) kepada €650,000 (RM3.1 juta).

Nooa Laine

Selain Arif, seorang lagi pemain tempatan yang mengalami peningkatan nilai pasaran adalah bintang Selangor FC iaitu Nooa Laine.

Dia yang hadir sebagai pemain pinjaman bagaimana pun tidak mengecewakan apabila sentiasa menjadi wira tidak didendang Selangor di bahagian tengah.

Laine mempamerkan persembahan baik sebagai pemain tengah.

Laine beraksi sebanyak 20 kali dalam Liga Super musim ini dan menghasilkan tiga bantuan gol. Dia mungkin tidak terlibat banyak dalam sumbangan jaringan Gergasi Merah tetapi pengaruhnya di padang membantu kestabilan Selangor ketika beraksi.

Ia membuatkan nilai pasaran Laine meningkat daripada €275,000 (RM1.3 juta) kepada €300,000 (RM1.4 juta).

Jordan Mintah

Setelah sekian lama berada di Liga Malaysia, boleh dikatakan musim 2024/2025 adalah yang terbaik buat Jordan Mintah.

Pemain itu mengharungi kempen cemerlang bersama-sama Kuching City FC dalam membantu mereka meraih kedudukan tertinggi di Liga Super dalam sejarah kelab iaitu tempat keempat.

Mintah (kiri) cukup tajam untuk Kuching City.

Bekas bintang Terengganu FC itu musim ini menghasilkan 14 gol dalam saingan Liga Super sambil mencatatkan satu bantuan gol. Mintah turut menghasilkan satu gol dan satu bantuan gol dalam Piala FA.

Ia membuatkan nilai pasaran Mintah meningkat daripada €200,000 (RM967 ribu) kepada €275,000 (RM1.3 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram