Impian Selangor mahu rekrut import Palestin punah, Oday Kharoub tak dapat restu presiden


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Oday antara import yang paling disukai penyokong KDN FC, selain turut menjadi kapten pasukan.— Facebook/KDNFC

22 September lalu menyaksikan peluang terakhir untuk setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) menambah baik pasukan masing-masing susulan ia merupakan tarikh tutup jendela perpindahan kedua.

Pada jendela perpindahan kedua ini, pelbagai pasukan mengambil kesempatan untuk membawa masuk pemain baharu baik ia merupakan kelab yang mempunyai skuad depth berkualiti seperti Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selain itu, ada juga situasi perjanjian perpindahan pemain tidak berlaku sebagaimana yang diinginkan, seperti Selangor FC gagal menandatangani tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

BACA LAGI: Kutip satu mata berharga, Ronnie jangka aksi lebih sukar buat Selangor

BACA LAGI: Sedar berdepan tugas sukar di Thailand, Safuwan lega 'ekor' Gergasi Merah ikut serta perjuangan Selangor

Sebelum ini, skuad Gergasi Merah dikhabarkan menunjukkan minat untuk meminjam khidmat pemain tengah kelahiran Palestin, Oday Kharoub yang kini sedang beraksi bersama skuad Kijang Emas.

Ada desas-desus mengatakan bahawa keinginan Gergasi Merah untuk meminjam Oday tidak dapat diusahakan berikutan tidak mendapat restu daripada Presiden KDN FC, Rozi Muhamad.

Keputusan Rozi untuk menolak permintaan Gergasi Merah itu difahamkan berlaku kerana skuad Pantai Timur berkenaan tidak sempat mencari pengganti pemain tengah berusia 31 tahun terbabit.

Ketua pasukan KDN FC itu merupakan watak utama skuad kendalian Park Jae-hong sejak dia menyertai kelab berkenaan pada awal musim ini. Selain bertindak sebagai jeneral, Oday sudah meledak satu gol dan dua hantaran bantuan buat Kijang Emas.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 13.16.12

Agyarkwa terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga bulan susulan kecederaan kaki dialaminya. — Facebook/SelangorFC

Oday yang beraksi di posisi pemain tengah bertahan itu diperlukan oleh skuad kendalian Nidzam Jamil susulan Selangor kini kehilangan khidmat Alex Agyarkwa selepas pemain tersebut ditimpa kecederaan pada aksi akhir Piala FA menentang JDT.

Memetik laporan media sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan bahawa pemain kelahiran Ghana itu perlu menjalani proses pemulihan kira-kira selama tiga bulan sebelum boleh kembali beraksi.

Pada perlawanan yang menyaksikan Gergasi Merah tewas 1-6 itu, Agyarkwa terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum separuh masa tamat dan digantikan dengan penyerang Jordan, Reziq Bani Hani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram