
SALAH satu kejutan yang berlaku dalam kenyataan dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai lesen kebangsaan adalah, Sri Pahang FC antara kelab yang menerimanya.
Cakap-cakap sebelum ini mengatakan yang Sri Pahang sedia untuk menarik diri daripada Liga Super. Dengan mereka memperoleh lesen kebangsaan, adakah mereka akan terus bertanding?
Walaupun memperoleh lesen kebangsaan, penyokong Sri Pahang masih tertanya-tanya, adakah kelab akan menghantar pasukan untuk beraksi musim depan?
BACA LAGI: Sri Pahang antara 11 kelab dapat lesen, MFL tolak permohonan Kedah-Perak
BACA LAGI: Enggan poket koyak, Penang-Sabah-TFC tak terikut-ikut buru 15 awang import
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Meor Abdullah Syamim, walaupun MFL sudah mengumumkan Sri Pahang untuk bertanding, namun kelab sendiri perlu bercakap kepada penyokong mengenai status mereka.
Sri Pahang harus tampil ke depan untuk menegaskan pendirian mereka terhadap penyertaan dalam Liga Super musim depan.
"Memang sedikit mengejutkan (berkenaan MFL beri Sri Pahang lesen kebangsaan) kerana sebelum ini Sri Pahang dikatakan tidak akan beraksi dalam Liga Super tahun hadapan.
"Lesen sahaja tidak menjamin penyertaan selagi tiada pengesahan rasmi daripada kelab sendiri. Dengan isu-isu yang berlegar termasuk hal dalaman dan kebimbangan penyokong, segalanya masih belum 100 peratus pasti. Jadi saya juga menantikan pengesahan rasmi perkara ini daripada kelab," kata Meor kepada Majoriti.
Dengan status penyertaan Sri Pahang masih lagi menjadi tanda tanya, ada pendapat mengatakan tempat mereka wajar diberikan kepada Perak FC atau Kedah Darul Aman FC.
Perak dan Kedah Darul Aman tidak menerima lesen kebangsaan.
Kedua-dua kelab itu tidak lulus permohonan lesen kebangsaan mereka kerana masalah kewangan dihadapi sekali gus menafikan peluang untuk bertanding dalam Liga Super musim depan.
Namun begitu, Meor berpendapat yang sekiranya Sri Pahang tidak mahu menghantar pasukan ke Liga Super, jangan berikannya kepada Perak atau Kedah.
Baginya, masalah akan lebih banyak berlaku jika slot itu diberikan kepada salah satu dua kelab tersebut.
"Tidak perlu. Kenapa perlu beri laluan kepada pasukan yang tidak layak mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi. Ia hanya kan menyebabkan lebih banyak masalah berlaku," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram