Sri Pahang antara 11 kelab dapat lesen, MFL tolak permohonan Kedah-Perak


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Sri Pahang (kiri) mendapat lesen kebangsaan sementara Perak dan Kedah Darul Aman (kanan) ditolak permohonan oleh MFL.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka mengeluarkan 13 lesen kebangsaan kepada 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga A1 bagi saingan musim depan.

Dalam kenyataan pada Khamis, pengumuman MFL itu disusuli dengan kejutan apabila Sri Pahang FC merupakan salah satu daripada 11 kelab menerima lesen walaupun pada mulanya dikatakan akan menarik diri.

Sebaliknya, dua kelab Utara iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC ditolak permohonannya kerana tidak memenuhi kriteria kewangan ditetapkan. 

BACA LAGI: Tinggal kenangan, Perak FC sah tak mohon lesen kebangsaan

BACA LAGI: Tempoh mohon Lesen Kebangsaan dilanjutkan, ‘kelembutan’ MFL undang pro-kontra

Bagi dua kelab Liga A1 pula, MFL memberikan lesen tersebut kepada Melaka FC dan Imigresen FC sekali gus menguatkan spekulasi mereka bakal mengisi slot Liga Super sebagai wakil dari dua liga bawhaan itu.

Namun begitu, tiada sebarang perkembangan mengenai status pasukan jemputan, Brunei DPMM yang dikatakan akan menyertai Liga Super dan sedang rancak mendapatkan pemain baharu.

Daripada 11 kelab Liga Super yang menerima lesen tersebut, terdapat tiga kelab yang menerima lesen secara bersyarat atau sanction kerana mereka perlu memberikan dokumen kewangan tambahan kepada MFL. Mereka perlu menghantar dokumen tambahan itu selewat-lewatnya pada 31 Mei.

Bagi Kedah dan Perak pula, penolakan permohonan lesen kebangsaan itu bakal membuatkan mereka tidak akan beraksi di Liga Super musim hadapan dengan MFL tidak mengatakan ada ruang untuk mereka merayu.

Berikut adalah senarai kelab-kelab yang menerima lesen kebangsaan MFL bagi musim 2025/2026:

Menerima lesen penuh tanpa syarat

  • Johor Darul Ta'zim
  • Selangor FC
  • Sabah FC
  • Kuching City FC
  • Penang FC
  • Terengganu FC
  • Sri Pahang FC
  • Negeri Sembilan FC
  • Melaka FC (Liga A1)
  • Imigresen FC (Liga A1)

Menerima lesen tapi perlu hantar dokumen tambahan

  • Kuala Lumpur City FC
  • PDRM FC
  • Kelantan Darul Naim FC

Gagal menerima lesen

  • Kedah Darul Aman FC
  • Perak FC

Dengan pengumuman ini, ia akan menyaksikan jumlah semasa bagi kelab Liga Super 2025/2026 adalah sebanyak 13 penyertaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram